Kuching FA tamatkan saingan Liga Premier di tangga keempat
KUALA LUMPUR,. Pasukan Kuching FA menamatkan kempen Liga Premier pada musim ini di tangga keempat selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.
Kemenangan itu menyaksikan Kuching FA mengutip 16 mata daripada 11 perlawanan (lima kemenangan, satu keputusan seri dan lima kekalahan), manakala Kuala Lumpur kekal di tangga ketiga menerusi pungutan 21 mata daripada 11 perlawanan (enam kemenangan, tiga keputusan seri dan dua kekalahan).
Pada perlawanan malam ini, penyerang import dari Brazil, Bryan Jones Anicezio meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-21, sebelum pemain import dari Jepun, Yuta Suzuki mengesahkan kutipan tiga mata untuk skuad ‘City of Unity’ setelah meledak gol kedua pada minit ke-34.
Perlawanan berkenaan sepatutnya berlangsung pada 10 Okt lepas di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Liga Bola Sepak Malaysia, bagaimanapun, memutuskan untuk mengadakan perlawanan berkenaan pada hari ini memandangkan pemain dan pegawai Kuching FA perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari dari 4 hingga 18 Okt lalu, seperti ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Kedua-dua pasukan akan bersaing dalam kempen Piala Malaysia yang bermula 6 Nov ini.
— BERNAMA