Kumpulan pertama mahasiswa Universiti Xiamen Malaysia tamat pengajian

SEPANG,. Kumpulan pertama mahasiswa dari universiti China pertama di negara ini, Universiti Xiamen Malaysia (XMUM), menamatkan pengajian mereka baru-baru ini.

Sebanyak 371 mahasiswa yang terdiri daripada 242 mahasiswa Malaysia dan 129 mahasiswa warga China menerima ijazah sarjana muda mereka pada majlis konvokesyen yang diadakan buat julung kalinya.

Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tan Kok Wai berkata para graduan mempunyai banyak ruang untuk berjaya kerana universiti tersebut merupakan projek di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) antara Malaysia dan China.

“XMUM merupakan ‘brainchild’ di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan antara Malaysia dan China.

“Sama ada di China, Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China mahupun di negara yang terlibat dalam inisiatif tersebut, para graduan mempunyai banyak ruang untuk berjaya,” kata Tan dalam ucapannya pada majlis konvokesyen pertama XMUM pada Sabtu.

Dalam pada itu, Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian menggesa para graduan untuk mengejar impian mereka selain menyumbang kepada pembangunan negara masing-masing, universiti dan persahabatan antara Malaysia dan China.

Bai berkata kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berminat untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan membawa lebih faedah bersama.

“Beberapa tahun kebelakangan ini telah menyaksikan pertukaran pelajar dan pelancong antara China dan Malaysia yang semakin meningkat.

“Pada 2018, tiga juta pelancong China melawat Malaysia dan 1.29 juta rakyat Malaysia melancong ke China. Terdapat lebih 50,000 pelajar China yang belajar di Malaysia dan hampir 10,000 pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran ke China.

“Pada masa akan datang, saya percaya angka tersebut akan meningkat,” kata Bai.

Sebagai projek dalam dasar Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan, XMUM digelar sebagai ‘mutiara’ Laluan Pendidikan Sutera.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )