
Kunjungi muzium, hayati sejarah kuatkan jati diri patriotik
KUALA TERENGGANU,. Semangat patriotik dan jati diri boleh diserap ke dalam jiwa anak muda menerusi pendedahan tentang sejarah dan kehebatan nenek moyang dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
Pengarah Muzium Negeri Terengganu Che Muhamad Azmi Ngah berkata, kegigihan generasi terdahulu perlu dijadikan inspirasi oleh golongan muda agar mereka juga mampu mencipta sejarah untuk manfaat generasi akan datang.
“Di Terengganu khusus-nya, masyarakat zaman dahulu dikenali sebagai masya-rakat maritim yang sangat berani meneroka Laut China Selatan untuk berdagang dengan menggunakan perahu besar yang dibuat sendiri menggunakan tangan.
“Terdapat ribuan perahu besar (kapal dagang) di Te-rengganu satu ketika dahulu yang menjadikan pelabuhan di negeri ini antara yang terbesar di dunia ketika itu.
“Pengunjung yang datang ke Muzium Terengganu pasti terpegun melihat sendiri dua perahu besar yang dipamerkan di sini kerana ia adalah bukti hebatnya masyarakat terdahulu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Muzium Negeri Terengganu yang terletak di Losong dengan keluasan 23 hektar itu adalah muzium yang terbesar di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara.
Bangunan muzium yang diinspirasikan daripada konsep rumah tradisional Te-rengganu itu mempunyai sembilan galeri iaitu tujuh di dalam bangunan dan dua lagi berada di luar bangunan.
Che Muhammad Azmi berkata, ada yang memandang remeh terhadap muzium kerana persepsi negatif sese-tengah individu yang me-nganggap ia sekadar tempat mengumpulkan semua artifak dan koleksi barangan lama semata-mata.
“Itulah silapnya…matlamat kunjungan ke mana-mana muzium sekalipun tidak akan tercapai sekiranya orang ramai tidak menghayati apakah makna dan sejarah di sebalik setiap koleksi yang dipamerkan.
“Batu Bersurat contohnya adalah bukti bertapaknya Islam sejak tahun 1303 di Terengganu yang ketika itu, kita sudah mempunyai undang-undang Islam.
“…begitu juga koleksi keris dan senjata lain yang digunakan pejuang terdahulu dalam menentang penjajah, semuanya akan membangkitkan rasa sayangkan negara dan motivasi diri untuk berubah menjadi lebih hebat satu hari nanti,” katanya.
Antara koleksi berharga yang terdapat di Muzium Negeri Terengganu ialah Batu Bersurat Piagam Te-rengganu yang telah diiktiraf sebagai ‘Memory Of The World International Re-gister’ (MWIR) pada tahun 2009 daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Selain itu, terdapat pelbagai koleksi lain yang dipamerkan seperti tembaga untuk hiasan dan kegunaan harian, barangan kraf, kebudayaan, ukiran, songket, sutera, batik dan pelbagai jenis perahu yang digunakan masyarakat pada masa silam.
Meskipun sedar usaha menerapkan semangat nasionalisme itu bukanlah satu kerja yang mudah, namun beliau percaya ia mampu dicapai sekiranya semua pihak memainkan peranan melalui pelbagai medium agar rakyat Malaysia sentiasa mempunyai jati diri dan rasa cintakan tanah air yang kuat.
“Ia dizahirkan melalui kesatuan hati dan perpaduan antara kaum, hormat-menghormati keunikan budaya, bahasa, adat resam antara satu sama lain dan pada masa sama sentiasa kreatif dalam menongkah arus untuk mencipta sejarah sebagai bangsa yang gemilang dalam pelbagai aspek,” katanya.
Justeru, beliau sangat berharap agar orang ramai me-ngambil kesempatan sepanjang Bulan Kebangsaan untuk berkunjung ke muzium dan menambah koleksi bacaan berkaitan kemerdekaan agar lebih menghargai sumbangan dan jasa generasi terdahulu yang berkorban darah, harta dan keringat untuk generasi ketika ini.
Malaysia bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-63 pada 31 Ogos ini. — Bernama