KUSKOP sokong perusahaan besar bangunkan PMKS sebagai vendor, francaisi di Sabah, Sarawak
SEREMBAN,. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyokong syarikat Worldsign Industries dari Negeri Sembilan untuk mengembangkan rangkaian perniagaan ke Sabah dan Sarawak.
Menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick, berkata usaha itu dapat membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta membantu kerajaan membangunkan komuniti terbabit dan koperasi menjadi usahawan vendor atau usahawan francaisi.
“Kumpulan syarikat itu memiliki rantaian bekalan dari ladang ternakan ayam, kilang pemprosesan, rangkaian logistik dan kedai pengguna serta pelbagai rakan strategik.
“Jenama syarikat ini dikenali ramai di Semenanjung iaitu produk ayam mentah HyFresh dan rangkaian kedai pengguna ABT Fresh dan Frozen Food Supply,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ewon berkata justeru, pihaknya menyokong hasrat syarikat berkenaan mengembangkan rangkaian bekalan dan rakan strategik ke Sabah dan Sarawak.
Semasa lawatan di kilang perusahaan itu, beliau berkata pihaknya serta pengurusan tertinggi Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Bahagian Francais dan Pembangunan Vendor KUSKOP telah diberikan taklimat oleh Pengarah Urusan WorldSign Industries Paul Khoo.
Justeru, beliau berkata pihaknya mengalu-alukan hasrat syarikat itu bekerjasama dengan kerajaan negeri serta ladang kontrak, koperasi dan individu di Sabah.
“Berdasarkan taklimat yang diberikan, syarikat ini sudah mempunyai rangkaian yang luas di Semenanjung dan saya berharap agensi-agensi kementerian dapat membantu menyediakan perkhidmatan yang diperlukan untuk merealisasikan hasrat syarikat ini mengembangkan rangkaian perniagaan mereka.
“Syarikat ini juga berminat mendaftarkan jenama rangkaian kedai mereka untuk francais, sekali gus membuka peluang kepada usahawan francaisi di seluruh negara,” katanya.
Ewon dan rombongan diberikan taklimat korporat mengenai syarikat WorldSign Industries, kemudian dibawa meninjau pusat pemprosesan, pembungkusan dan penyejukbekuan ayam.
–BERNAMA