KWSP lancar i-Sayang, bolehkan suami carum 2% kepada akaun KWSP isteri

KWSP lancar i-Sayang, bolehkan suami carum 2% kepada akaun KWSP isteri

KUCHING,. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan i-Sayang, satu kemudahan yang membolehkan suami untuk memindahkan dua peratus daripada caruman mereka ke dalam akaun isteri.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kemudahan i-Sayang itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada institusi kekeluargaan.

Katanya, ia juga menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai perlindungan skim keselamatan sosial yang formal, untuk menabung demi masa depan persaraan mereka.

“Dengan membolehkan suami untuk mencarum secara sukarela sebanyak dua peratus caruman bulanan, mereka memberikan peluang kepada isteri mereka untuk mempunyai simpanan jangka masa panjang di samping mendapat akses kepada keselamatan sosial dan kewangan yang berkualiti sepertimana yang dinikmati oleh ahli KWSP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Inisiatif bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Kuala Lumpur yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dan Amir Hamzah.

Lebih kurang 2.4 juta suri rumah di negara ini tidak bekerja atau berada di luar sektor tenaga buruh, seterusnya tidak mempunyai sebarang bentuk keselamatan sosial, menjadikan mereka lebih rentan terhadap kesulitan dan kejutan kewangan.

Inisiatif tersebut adalah selaras dengan komitmen Kerajaan dalam memperkasakan hak dan menjaga kebajikan wanita serta menerapkan nilai kekeluargaan selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang berteraskan ciri-ciri keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Permohonan i-Sayang boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun KWSP (Ahli), Self-Service Terminal (SST) KWSP, atau di mana-mana cawangan seluruh negara.

Maklumat lanjut mengenai i-Sayang boleh didapati di laman sesawang KWSP di www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000.

CATEGORIES
TAGS
Share This