
Labuan IBFC kekalkan strategi hubungkan ekonomi Asia
LABUAN,. Pusat Perniagaan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) akan terus mengekalkan strateginya sebagai penghubung ekonomi Asia dengan memanfaatkan kedudukan wilayah itu.
Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) Danial Mah Abdullah berkata ini juga selaras dengan inisiatif Belanjawan 2020 yang menggalakkan aliran masuk pelaburan dari China.
“Langkah ini juga seiring dengan Strategi China di peringkat Labuan IBFC berikutan struktur pusat ini dapat dimanfaatkan bagi menarik pelabur China, terutamanya institusi dan firma terkemukanya.
“Selain mempertingkat fokus perniagaannya, Labuan FSA akan terus mempertahankan peranan penyelaras dan pengawalseliaannya untuk memastikan keberkesanan dan kestabilan pasaran sentiasa dijaga,” katanya pada Majlis Makan Malam Perindustrian pada Sabtu.
Menurut Danial, aspek pemantauan dan lebih banyak pemeriksaan di tapak akan dijalankan ke atas sektor yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi di bawah Kerangka Penilaian Risiko Sektor Labuan.
“Ini semua penting sebagai bukti kita serius untuk menangani masalah penggubahan wang haram dan menangani pembiayaan keganasan, terutamanya apabila Malaysia termasuk Labuan yang akan dinilai semula oleh pihak Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) pada awal tahun depan.
“Kita perlu memastikan bahawa Labuan IBFC sudah bersedia dan memaparkan langkah-langkah yang telah diambil untuk menjaga penilaian positif itu selain kredibiliti Labuan IBFC sebagai pusat yang ada reputasi,” katanya.
Menurut Danial, sejajar sektor kewangan Labuan memasuki tahun ke-30 pada 2020, ia perlu lebih tangkas dan seiring dengan perubahan peraturan antarabangsa, persaingan global dan kemajuan teknologi.
“Kita bernasib baik kerana berada di rantau paling pesat berkembang di dunia iaitu Asia Pasifik yang membolehkan kita berkembang seiring dengan rantau ini. Oleh itu, kita perlu mempromosikan sektor khusus yang telah mendapat keyakinan serta pengiktirafan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata Labuan IBFC turut diumumkan sebagai penerima Best Asian Captive Domicile pada Asian Captive Review Awards untuk 2018 dan 2019.
“Bagi memastikan dapat kekal relevan dan cemerlang, kita memerlukan sokongan semua pihak berkepentingan dan akan meneruskan kerjasama dengan kementerian, agensi, penggiat industri, pihak perantara serta lainnya bagi memajukan lagi pusat ini,” katanya.
— BERNAMA