Laman web palsu sebar berita propaganda India

INDIA,. Satu rangkaian laman web yang menyebar berita palsu dikenalpasti wujud bagi tujuan membentuk pandangan dan menyebar pengaruh yang memihak kepada India.

Pendedahan itu dibuat oleh EU Disinfo Lab, sebuah NGO berpengkalan di Brussels.

Hasil siasatan mendapati laman web itu kendalian kumpulan Srivastava, sebuah syarikat India.

EU Disinfo juga mendapati rangkaian laman web itu juga terlibat dalam usaha melobi yang disifatkan sebagai `anti-Pakistan’ di Eropah.

Namun EU Disinfo mengakui tiada terdapat sebarang bukti yang mengaitkan rangkaian itu dengan kerajaan India.

Laporan BBC itu menemubual Alexandre Alaphilippe, pengarah urusan EU Disinfo Lab yang memberi amaran rangkaian laman web itu memberi gambaran seolah olah berita yang direka itu mempunyai atau berasaskan sokongan di akar umbi.

Tambahnya lagi, perkara ini tidak memeranjatkan kerana kedua-dua negara sudah sekian lama berusaha untuk membentuk naratif dan persepsi dunia luar terhadap negara masing masing.

Siasatan lanjutan mendedahkan rangkaian meluas laman web palsu berbahasa Inggeris yang dijadikan bahan asas bertujuan menyokong kepentingan melobi bagi pihak India.

Enam laman web palsu yang disiasat mengguna nama-nama yang mengelirukan seperti ‘The Times of Los Angeles’ dan bukan nama ‘Los Angeles Times’ yang lebih terkenal.

Banyak berita yang diterbit diciplak dari pertubuhan berita lain dan dipapar seolah-olah sumbernya berasal dari laman web yang sebenar.

The Times of Geneva antara laman web yang paling aktif dalam rangkaian ini yang memaparkan banyak kandungan video.

Usaha pemberitaan The Times of Geneva banyak dituju kepada ahli politik, kerajaan dan teknokrat yang membentuk hala tuju Pertubuah Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Laman web itu tidak dikemaskini sejak pertengahan November sejurus sahaja EU Disinfo mendedahkan kewujudannya.

BBC gagal menembusi nombor telefon yang dipaparkan dalam laman web Times of Geneva kerana talian dihentikan. Saluran YouTube turut dihentikan dan akaun Twitter digantung.

Laporan itu turut menyebut usaha yang sama pernah dilakukan oleh pelobi anti-India melalui laman blog Pakistan bernama Café Pyala yang kini tidak aktif.

Modus operandi Café Pyala tidak banyak berbeza – menggunakan nama-nama yang mengelirukan seperti ‘Times of Bombay’, ‘The Delhi Times’ dan ‘Dacca Times’ sebagai sumber berita.

Semuanya mirip nama nama pertubuhan yang lebih popular dan benar wujud.

Kumpulan Srivastava adalah sebuah syarikat induk yang mempunyai kaitan dengan bidang Sumber Asli, Kesihatan, Media dan Penerbitan.

Salah satu anak syarikatnya adalah Institut Antarabangsa Kajian Berkecuali (International Institute for Non-aligned Studies).

Pertubuhan ini bertanggung jawab menjemput Ahli Parlimen berhaluan kanan Parlimen Eropah meninjau keadaan politik Kashmir.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )