Landskap politik berubah jika rakyat pilih kerajaan negeri seiring pusat – Ronald Kiandee

Landskap politik berubah jika rakyat pilih kerajaan negeri seiring pusat – Ronald Kiandee

BELURAN,. Landskap politik Sabah bakal berubah jika rakyat di negeri itu mampu melihat ke hadapan dengan memilih kerajaan negeri yang seiring dengan kerajaan pusat.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata Sabah pernah menjadi negeri pembangkang kepada kerajaan pusat sehingga pembangunan tidak dapat dilaksanakan dengan lancar di negeri itu.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini merupakan peluang kepada rakyat untuk melakar satu landskap politik yang sesuai dengan kehendak rakyat di negeri ini.

“Saya melihat pada 26 Sept nanti, rata-rata rakyat di Sabah akan menyokong parti-parti yang bertanding atas platform Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya ketika ditemui selepas Program Kenduri Rakyat di Kampung Keniogan dekat sini hari ini.

Turut hadir Samad Jambri, calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Labuk.

GRS dianggotai PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Terdahulu, calon BN bagi kerusi Kuamut Datuk Juhari Janan berkata kerajaan BN sebelum ini telah terbukti dalam usahanya membantu rakyat terutama di kawasan luar bandar.

Beliau berkata kerajaan BN dahulu mampu melakukannya kerana mempunyai komitmen dan kesungguhan untuk memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada arus pembangunan.

“Oleh itu, saya merayu dan memohon jasa baik pengundi-pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut agar tidak tersalah pilih semasa hari pengundian nanti.

“Undilah calon BN,” katanya ketika melawat Pusat Daerah Mengundi Inarad di Kinabatangan hari ini.

Juhari juga berkata antara pembangunan yang dibawa oleh BN di Kuamut ialah sekolah serta dewan serba guna dan antara kemudahan yang masih diperlukan di kebanyakan tempat di kawasan itu ialah jalan raya, klinik kesihatan, bekalan elektrik dan air bersih.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This