Langganan Sukuk Prihatin lepasi RM666 Juta, atasi sasaran asal pada RM500 Juta

KUALA LUMPUR,. Sukuk Prihatin yang merupakan inisiatif kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) telah terlebih langgan dengan jumlah langganan bernilai lebih RM666 juta.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata nilai itu melepasi sasaran penerbitan asal berjumlah RM500 juta.

“Memandangkan sambutan yang amat memberangsangkan daripada pemohon yang layak, kerajaan memutuskan untuk menerbitkan langganan tambahan bernilai sebanyak RM166 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sukuk itu diterbitkan oleh kerajaan dengan tujuan memberi peluang kepada rakyat Malaysia menyumbang ke arah usaha membina semula negara pascapandemik COVID-19.

Tempoh langganan dibuka pada 18 Ogos dan telah ditutup pada 17 Sept, 2020.

Tengku Zafrul berkata dana terbitan Sukuk Prihatin akan disalurkan kepada Kumpulan Wang COVID-19 untuk pelaksanaan langkah-langkah pemulihan ekonomi, seperti menambah baik kesalinghubungan sekolah luar bandar, menyokong usaha penyelidikan penyakit berjangkit dan membiayai usahawan mikro.

Beliau berkata Sukuk Prihatin telah dilanggan menerusi JomPAY dan/atau DuitNow yang diakses melalui platform perbankan digital 27 bank di Malaysia dengan Maybank sebagai bank pengedar utama.

Langganan dalam talian ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan melakar sejarah buat sukuk digital yang pertama seumpamanya di Malaysia, katanya.

“Kerajaan ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang melanggan Sukuk Prihatin. Lebihan langganan dan kejayaan penerbitan Sukuk Prihatin adalah bukti semangat satu hati dan kerjasama rakyat Malaysia dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini, selaras dengan tema #MalaysiaPrihatin.

“Kerajaan percaya, semangat ‘ringan sama dijinjing, berat sama dipikul’ inilah yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih teguh,” katanya.

Tengku Zafrul berkata berdasarkan penutupan tempoh langganan pada 17 Sept, Sukuk Prihatin akan diterbitkan pada 22 Sept, 2020 dengan tempoh matang dua tahun.

“Ia menawarkan kadar keuntungan sebanyak 2.0 peratus setahun yang akan dikecualikan cukai dan dibayar setiap suku tahunan,” katanya.

Beliau berkata pemegang sukuk juga mempunyai pilihan untuk menderma sebahagian atau keseluruhan jumlah prinsipal langganan apabila tempoh pelaburan matang pada 21 Sept, 2022.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )