Langkah tambat ringgit tidak sesuai

Langkah tambat ringgit tidak sesuai

KUALA LUMPUR,. Penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini dipengaruhi oleh faktor luaran yang tidak menentu, sekali gus adalah tidak sesuai untuk mengambil langkah tambatan bagi membendung kejatuhan nilai mata wang tempatan, demikian kata ahli ekonomi.

Pasaran global kini berada dalam keadaan tidak menentu berikutan kebimbangan bahawa ekonomi dunia akan terjerumus ke dalam kemelesetan susulan penularan wabak COVID-19 yang diisytiharkan pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Penganalisis Ekonomi, Profesor Emiratus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata jika diteliti, keadaan semasa tidak memerlukan tambatan kerana keadaan ketika ini adalah bencana global, yang mana semua negara dan ekonomi terkena tempiasnya.

Beliau berkata, bencana itu buat masa ini belum lagi sampai ke penghujungnya, justeru adalah sukar mengetahui apa yang akan berlaku selanjutnya.

“Kita tidak tahu apa akan jadi esok atau lusa. Tidak ada seorang pun yang tahu dengan perkembangan wabak ini dan bagaimana Eropah dan Amerika Syarikat (AS) menanganinya dan bagaimana ia menjejaskan mereka selain juga akan berlaku di negara lain.

“Begitu juga maklumat mengenai apa yang telah dan sedang berlaku di China dan juga kepada ekonominya, tidak ramai yang tahu. Justeru, tambatan adalah satu keputusan yang besar, maka ia perlukan penelitian yang terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada langkah tambatan ringgit perlu dilaksanakan dalam mengekang impak aliran menurun mata wang tempatan kepada ekonomi negara.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berpandangan yang sama dengan melihat langkah menambat ringgit agak ekstrem untuk dilaksanakan ketika ini.

Beliau berkata, ia berikutan kewangan negara masih berada dalam keadaan yang baik terutama sektor perbankan, yang mana tahap kecairan serta kecukupan modal yang tinggi akan dapat memastikan kegiatan penerimaan deposit dan pemberian pinjaman dapat terus dilakukan meskipun berlaku ketidaktentuan ekonomi global.

Cuma, jelasnya, isu sekarang adalah sentimen yang sangat negatif dalam kalangan peniaga, pelabur dan individu.

“Justeru, kerajaan perlu memperhebatkan usaha untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi,” katanya.

Penganalisis Ekonomi, Dr Zulkiply Omar juga turut bersetuju adalah tidak sesuai untuk mengambil langkah tambatan ringgit ketika ini, memandangkan ringgit dilihat agak stabil untuk tempoh setahun lalu.

Beliau berkata, isu yang menyebabkan kemelesetan ekonomi adalah isu global, yang mana semua ekonomi terkesan dan ia tidak tertumpu kepada Malaysia saja.

Justeru, katanya, adalah tidak perlu untuk mengambil langkah berkenaan.

Pada Jumaat, ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada RM4.2775, paras terendahnya sejak Ogos 2017.

Langkah tambatan ringgit dilaksanakan sebelum ini berikutan Krisis Kewangan Asia 1997, yang memperlihatkan ringgit jatuh mendadak sehingga ke paras RM4.40 sedolar.

Situasi berkenaan menyebabkan Bank Negara Malaysia melaksanakan langkah tambatan ringgit kepada RM3.80 untuk setiap dolar. Namun, langkah tambatan ringgit itu berakhir pada Julai 2005.

CATEGORIES
TAGS
Share This