Langkawi dari sudut berbeza, LADA perkenal produk pelancongan budaya

LANGKAWI,. Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mengambil pendekatan kreatif apabila menampilkan sisi berbeza pulau legenda ini yang memaparkan produk pelancongan budaya menerusi 10 video dokumentari mikro.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Dr Hezri Adnan berkata penerbitan dokumentari mikro tersebut dilakukan berdasarkan konsep perkongsian pengalaman daripada individu atau tokoh yang terlibat secara langsung dengan pembangunan industri pelancongan Langkawi.

“Ada 10 video dokumentari mikro yang dihasilkan berdurasi lima hingga enam minit setiap satu. Sebagai contoh kami tampilkan ‘jikey’ sebuah teater tradisi yang terkenal di negeri utara tanah air, lebih menarik di Langkawi jikey memiliki aspek multiculturalism yang menonjolkan budaya Melayu, Cina dan Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Video Dokumentari Mikro Langkawi, di Laman Padi.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Mengulas lanjut, Hezri berkata LADA menyedari pulau ini menerima kehadiran pelancong yang ramai namun lebih tertumpu kepada tarikan sedia ada walhal di lokasi pelancongan antarabangsa seperti di Bali, Indonesia; atau Phuket, Thailand; pelancongan budaya memberi pendapatan yang baik kepada penduduk setempat.

“Di Langkawi kami belum cukup ketengahkan produk budaya yang boleh jadi tarikan buat pelancong, jadi atas dasar itu kami rasa perlu melihat semula DNA budaya Langkawi yang boleh digilap dan martabatkan untuk jadi tarikan pada masa depan.

“Sebenarnya amalan tempatan yang mungkin pada kita tidak terlalu menarik tetapi kepada pelancong luar negara atau dari Kuala Lumpur serta kota besar lain mereka tidak pernah tahu dan akan rasa tertarik dengan apa yang diamalkan serta menjadi tradisi di pulau ini,” katanya.

Hezri berkata setakat ini tiga daripada 10 video dokumentari mikro iaitu ‘Pandai Kayu’ (memaparkan seni bina rumah tradisional Melayu Langkawi), ‘Beras Terbakar’ (lokasi bersejarah) dan ‘Gua Pinang’ telah dimuat naik di laman sosial LADA dan mendapat respons yang sangat baik.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )