Lapor yang betul mengenai zakat – ZPP
NILAI,. Media diminta supaya membuat laporan yang betul dan telus termasuk membabitkan soal zakat, bagi mengelak persepsi buruk masyarakat terhadap badan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP) Amran Hazli berkata dalam mendepani cabaran masa kini, media massa harus memainkan peranan penting, dalam menyampaikan maklumat selain memberi pemahaman, mengenai peranan institusi zakat dalam kalangan masyarakat di negara ini.
“Sekiranya media memberi maklumat yang berimpak negatif, ia akan membuat masyarakat dan orang Islam di negara ini meragui pusat-pusat zakat, dengan isu yang ditimbulkan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas program Muzakarah Zakat Kebangsaan 2019 di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat, supaya tidak mudah terpengaruh dengan sesuatu berita yang diperolehi dan perlu menyemaknya terlebih dahulu.
“Pada umumnya masyarakat masih lagi waras berfikir dan melakukan usaha untuk mendapat maklumat sebenar sebelum membuat keputusan membayar kepada badan-badan zakat. sekiranya menerima secara bulat-bulat fakta yang tidak benar maka ia akan memberi efect kepada institusi ini,” katanya.
— BERNAMA