Laporan oleh RUM: MOT serahkan siasatan kepada polis

Laporan oleh RUM: MOT serahkan siasatan kepada polis

PUTRAJAYA,. Kementerian Pengangkutan (MOT) menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung laporan yang dibuat oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd (RUM) terhadap pegawai kanan kementerian.

“Pihak MOT mengambil maklum mengenai laporan-laporan polis yang telah dibuat dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan serta akan menunggu hasil siasatan tersebut,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan semalam.

Laporan-laporan polis yang telah dibuat dimaklumkan dalam Facebook Presiden RUM Abdul Razak Md Hassan.

Abdul Razak dalam hantaran menerusi Facebook menyatakan RUM telah membuat laporan polis terhadap Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak kerana memfitnahnya berkaitan tren Diesel Multiple Unit (DMU).

Menurut MOT, kementerian masih lagi berpegang kepada kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan sebelum ini iaitu ‘Fakta Sebenar Tepis Blog SABAHKINI2’ pada 7 April dan kenyataan media MOT bertarikh 8 April lepas mengenai ‘Jawapan Kepada Tuduhan Tidak Berasas Berkaitan Tren DMU’.

Pada 8 April, MOT menjelaskan bahawa 13 unit tren DMU baharu yang akan digunakan adalah menggantikan lokomotif dan koc penumpang sedia ada bagi laluan Pantai Timur, kerana keadaan lokomotif sedia ada itu memerlukan kos penyelenggaraan yang terlalu tinggi serta sering berlaku kerosakan.

MOT menjawab tuduhan yang dibuat Abdul Razak termasuk faktor tren DMU seolah-olah digunakan secara tergesa-gesa, isu berkaitan tahap keselamatan komponen tangki minyak tren DMU, tahap kualiti cermin tingkap DMU dan fasiliti depoh tren berkenaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This