Laporan suku tahunan JENDELA akan dikeluarkan pada Disember – MCMC

Laporan suku tahunan JENDELA akan dikeluarkan pada Disember – MCMC

KUALA LUMPUR, 28 Okt — Malaysia akan mengeluarkan laporan pertama Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang menggariskan kemajuan dan pencapaian rancangan itu, pada Disember ini.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata laporan itu akan dikeluarkan secara suku tahunan.

“JENDELA berjanji apabila kami dalam keadaan yang lebih baik, kami akan menyediakan laporan suku tahunan.

“Dengan cara ini, ia juga bertujuan memberi desakan yang sesuai kepada penyedia perkhidmatan serta agensi berkaitan yang akan memberi kelulusan agar kita sebagai sebuah negara, akan mempunyai infrastruktur yang kukuh dengan lebih pantas.

“Kami komited untuk menghasilkan laporan secara suku tahunan kepada anda agar anda (tahu) di mana kami berada berbanding sasaran (kami inginkan) dan sekiranya perlu, tanyalah kami serta industri mengapa kami gagal mencapai sasaran itu,” katanya dalam ucapan pada Bengkel Maya JENDELA 101 Media hari ini.

Ketua Pegawai Operasi Sektor Perkhidmatan Digital dan Standard Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata pandemik COVID-19 telah menjejaskan kemajuan JENDELA.

Bagaimanapun beliau berkata, pihak berkepentingan yang terlibat telah mengkaji alternatif untuk menangani impak itu bagi memastikan rancangan tersebut dilaksanakan dan dipercepatkan sekiranya perlu.

Beliau berpendapat modul atau komponen selanjutnya mengenai pelan itu mungkin akan di bawa ke hadapan untuk menggantikan komponen yang terkesan akibat pandemik itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos lepas mengumumkan JENDELA sebagai usaha meningkatkan infrastruktur digital di negara ini dengan sasaran menangani peningkatan keperluan liputan jalur lebar tetap dan mudah alih yang lebih berkualiti akibat pandemik COVID-19.

JENDELA yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) akan meletakkan asas serta menyediakan negara kepada peralihan menuju teknologi 5G.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )