Lazada ambil tindakan segera sekat akses tidak sah kepada pangkalan data pelanggan

Lazada ambil tindakan segera sekat akses tidak sah kepada pangkalan data pelanggan

SINGAPURA,. Sebuah syarikat e-dagang iaitu Lazada telah mengambil tindakan segera menyekat akses tidak sah kepada pangkalan data pelanggan RedMart.

Sebuah media tempatan di sini melaporkan bahawa maklumat peribadi daripada kira-kira 1.1 juta akaun RedMart telah dicuri daripada platform e-dagang Lazada dan dijual secara dalam talian dalam satu insiden kebocoran data.

Mengulas perkara ini, Lazada berkata pasukan keselamatan sibernya telah mengesan seorang individu yang mendakwa memiliki pangkalan data pelanggan RedMart yang diambil daripada sistem lama RedMart yang sudah tidak digunakan syarikat itu.

“Maklumat ini, yang hanya dimiliki RedMart, adalah melebihi tempoh 18 bulan dan sudah lapuk serta tidak dihubungkan dengan mana-mana pangkalan data Lazada.

“Maklumat pengguna yang diakses secara tidak sah termasuk nama, nombor telefon, e-mel dan alamat surat-menyurat, kata laluan tersulit serta nombor kad kredit separa,” menurut jurucakap Lazada dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Bernama.

Menurut Lazada, melindungi data serta privasi pelanggan adalah keutamaannya dan syarikat itu kini berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan pantas.

“Kami kini dalam proses menghubungi pelanggan yang terjejas dan mengingatkan mereka agar menukar log masuk tauliah sebagai langkah keselamatan.

“Kami juga telah menghubungi pengawal selia mengenai insiden ini,” menurut jurucakap itu.

Media tempatan telah melaporkan penemuan satu forum dalam talian yang mendakwa menjual data peribadi daripada pelbagai laman e-dagang di seluruh dunia, termasuk Lazada.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This