Lebih 1,000 ahli dari 11 cawangan isytihar keluar Warisan

Lebih 1,000 ahli dari 11 cawangan isytihar keluar Warisan

SANDAKAN,. Lebih 1,000 ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) dari 11 cawangan dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Airport dan Sibugal telah mengisytiharkan keluar daripada parti itu secara serta-merta

Selain itu, 11 Ketua Cawangan yang terlibat iaitu dari Cawangan Taman Rajawali, Kampung Gayan Batu 10, Sri Hujung, Muhibbah, Kampung Sungai Batang Tengah, Kampung Nelayan Tengah selain Taman Sejati 1, 2, 3, 4 dan 5 turut meletakkan jawatan masing-masing.

Ketua PDM Airport yang juga Ketua Cawangan Taman Sejati 1, Ibrahim Yusof berkata mereka sebulat suara keluar dari Warisan selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu.

“Walaupun saya sayang Warisan, tetapi Warisan tidak sayangkan kami. Antara semua cawangan ini, hanya satu sahaja yang berjaya didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan cawangan selebihnya tidak berdaftar sedangkan kami telah menghantar borang sebelum Pilihan Raya Umum yang lalu lagi.

“Kenapa cawangan kami tidak didaftarkan?. Kami rasa kami dianggap sebagai anak tiri dan perjuangan kami selama ini hanya sia-sia,” katanya dalam Sidang Media Pengisytiharan Keluar Parti Warisan di Sandakan, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan untuk keluar parti itu dibuat atas kehendak mereka sendiri dan tidak dipengaruhi oleh pihak tertentu yang berjawatan tinggi termasuk wakil rakyat di kawasan mereka.

Jelasnya, mereka telah berjuang dan setia dengan parti sejak awal lagi tetapi selepas Warisan menang dalam PRU yang lalu, kami bukan sahaja tidak dihargai, tetapi langsung tidak dijenguk,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai hala tuju, Ibrahim berkata ahli-ahli yang telah meninggalkan Warisan akan memilih untuk bergerak bebas manakala beliau akan mempertimbang untuk menyertai Parti Perpaduan Rakyat Sabah.

–Utusan BORNEO

CATEGORIES
TAGS
Share This