Lebih 1,100 cedera akibat gempa bumi kuat di Iran

Lebih 1,100 cedera akibat gempa bumi kuat di Iran

TEHRAN: Lebih 1,100 orang cedera akibat gempa bumi berukuran 5.4 pada skala Richter melanda wilayah Azerbaijan Barat di Iran pada pagi Rabu. Bercakap kepada televisyen negara Iran, jurucakap Kementerian Kesihatan Mojtaba Khaledi berkata 1,127 orang cedera dalam gempa bumi itu, lapor Agensi Anadolu.

Gempa bumi kuat itu menggegarkan bandar Khoy, yang terletak 807 kilometer (501 batu) barat laut ibu negara Tehran.

Menurut Pusat Seismologi Iran di Universiti Tehran, gempa berlaku pada 3.51 pagi waktu tempatan (8.30 pagi waktu Malaysia) pada kedalaman 10 kilometer diikuti lebih 30 gegaran susulan sederhana.

Khaledi berkata kebanyakan mangsa yang cedera dimasukkan ke hospital tempatan di wilayah itu. Iran terletak di zon aktif secara seismik dan mengalami banyak bencana gempa bumi dalam beberapa tahun lalu.

Gempa bumi 6.7 pada skala Richter yang disifatkan paling dahsyat pernah melanda negara itu pada 2013 menyaksikan sekurang-kurangnya 34,000 orang maut di bandar Bam di wilayah Kerman.

Kejadian itu berlaku seminggu selepas gempa bumi bermagnitud 5.6 melanda wilayah yang sama, namun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan besar dilaporkan ketika itu.

– BERNAMA

CATEGORIES
Share This