Lebih 17,000 berjaya dapatkan pekerjaan menerusi MYFutureJobs – Saravanan

Lebih 17,000 berjaya dapatkan pekerjaan menerusi MYFutureJobs – Saravanan

KUALA LUMPUR,. Seramai 17,336 orang telah berjaya mendapat pekerjaan melalui portal pekerjaan nasional, MYFutureJobs sehingga 9 Feb lalu, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata meskipun negara masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), program perkhidmatan pekerjaan akan dilaksanakan secara dalam talian untuk penempatan pekerjaan untuk pekerja tempatan khususnya, mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui MyFutureJobs optimis dalam mempergiatkan lagi program perkhidmatan pekerjaan. Ini termasuklah 14 karnival PenjanaKerjaya, 660 sesi temu duga terbuka seluruh negara, 180 sesi temu duga dalam talian dan 200 sesi webinar pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Dilapor, MYFutureJobs adalah platform bagi KSM memantau padanan pekerjaan yang melibatkan rakyat tempatan selain memastikan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia diberi keutamaan.

Permohonan pekerja asing atau pegawai dagang hanya akan dipertimbangkan sekiranya tiada rakyat Malaysia yang berminat memohon jawatan berkenaan.

Saravanan berkata MYFutureJobs merupakan antara inisiatif dan tekad KSM dalam menyokong usaha kerajaan melalui Majlis Pekerjaan Negara (MPN) bagi merealisasikan strategi menjana dan mengekalkan pekerjaan selaras dengan matlamat Belanjawan 2021 iaitu ‘Kesejahteraan Rakyat’.

Menurutnya, KSM selaku pengerusi bersama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) di bawah Special Task Force Human Resource and Entrepreneurship (STF HRE) dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif lain bagi membantu dan menyokong peranan MPN.

Menerusi inisiatif PenjanaKerjaya, Saravanan berkata KSM akan meningkatkan kerjasama dengan industri bagi memastikan latihan yang dilaksanakan adalah selari dengan keperluan industri.

“Strategi ini untuk mengatasi isu ketidaksepadanan dalam penawaran dan permintaan pekerjaan, meningkatkan peluang pekerjaan serta kebolehpasaran dalam kalangan pencari kerja tempatan. Ini termasuklah kerjasama strategik bersama 35 agensi pekerjaan swasta untuk meningkatkan penempatan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata perkara ini akan dilaksanakan melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dengan kerjasama agensi-agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Bagi mencapai objektif tersebut, ia turut melibatkan penyertaan peneraju sektor swasta seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Northern Corridor Implementation Authority (NCIA), Regional Corridor Development Authority (RECODA), East Coast Economic Region Development Council (ECERDC) dan Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This