Lelaki lepas tembakan ke arah penunjuk perasaan, siar aksi secara langsung di Facebook

NEW DELHI,. Seorang lelaki bersenjata mencetuskan gempar di jalanan Delhi apabila bersiaran secara langsung menerusi Facebook ‘live’ untuk memberi amaran sebelum melepaskan tembakan ke arah kumpulan yang memprotes undang-undang kewarganegaraan India yang baharu, pada Khamis.

Dalam aksi yang disifatkannya sebagai ‘perjalanan terakhir’ itu, tembakannya mencederakan seorang pelajar.

Penembak itu, berpakaian jaket hitam, berdiri beberapa meter di hadapan barisan puluhan polis di luar Universiti Jamia Millia Islamia, di mana lebih 1,000 penunjuk perasaan berkumpul dan berarak.

Dia melaungkan slogan terhadap kumpulan penunjuk perasaan, termasuk wanita berhijab, sebelum melepaskan tembakan.

“Dia berada di hadapan semua orang – penunjuk perasaan dan anggota polis, kemudian dia melompat, mengangkat senjata dan berkata: Marilah, saya akan memberikan kebebasan kepada kamu”, kata seorang saksi bernama Aamir.

Polis telah menahan lelaki tersebut namun tidak memberi butiran lanjut.

Facebook memaklumkan akaun Facebook lelaki itu telah dinyahaktifkan.

Akta Amalan Kewarganegaraan baharu mempercepatkan proses kewarganegaraan India untuk minoriti bukan Islam dari tiga negara jiran.

Kerajaan Modi mengatakan undang-undang kewarganegaraan itu diperlukan untuk membantu ahli minoriti agama yang dianiaya yang melarikan diri ke India sebelum 2015 dari majoriti Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan.

Tetapi penunjuk perasaan mengatakan undang-undang itu dan cadangan pendaftaran nasional untuk rakyat, mendiskriminasi umat Islam dan melanggar perlembagaan sekular India.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )