Lelaki warga asing maut dalam pergaduhan

Lelaki warga asing maut dalam pergaduhan

GEORGE TOWN,. Seorang lelaki warga asing maut dipercayai ditikam dalam pergaduhan di kawasan Bukit Gedung, Bayan Baru dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan pergaduhan membabitkan sekumpulan warga asing di kawasan itu pada 11 malam.

“Sejurus menerima maklumat, pihak polis terus ke lokasi kejadian dan menjumpai seorang lelaki berusia lingkungan 30-an terbaring dengan kesan tikaman di badan dan disahkan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan itu, polis menahan empat lelaki warga asing berusia 31 hingga 45 tahun di sekitar lokasi kejadian dan kesemuanya yang merupakan pekerja kilang direman hingga 28 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Katanya berdasarkan siasatan awal, motif kejadian disyaki akibat dendam.

Dalam kes lain, Kamarul Rizal berkata pihaknya menahan empat remaja lelaki dipercayai berlumba haram dan melakukan pelbagai aksi berbahaya secara berkumpulan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Cheung Eu, berhampiran kawasan Perindustrian Bayan lepas dekat sini tengah malam tadi.

Beliau berkata kesemua yang berusia 16 hingga 19 tahun ditahan dalam Ops Samseng Jalanan bermula 12 tengah malam hingga 7 pagi tadi.

“Mereka didapati menunggang motosikal secara berkumpulan dan melakukan aksi ala Superman sambil menguji kelajuan motosikal,” katanya dan menambah mereka direman tiga hari bagi siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kamarul Rizal berkata operasi berkenaan turut menyita tujuh motosikal dan mengeluarkan 28 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This