Lesen operasi Lynas di Malaysia diperbaharui

Lesen operasi Lynas di Malaysia diperbaharui

MELBOURNE,. Lynas Corp, pengeluar nadir bumi terbesar di luar China, memenangi lesen baharu tiga tahun untuk meneruskan operasinya di Malaysia.

Ia tertakluk kepada beberapa syarat, yang memerlukannya membina kilang baharu mengendalikan bahan buangan dan mentah.

Keputusan itu mengakhiri ketidaktentuan yang menyelubungi masa depan kemudahan penapisan syarikat itu berhampiran Kuantan sejak akhir 2018, apabila kerajaan mengarahkan semakan semula terhadap operasinya kerana pengkritik bimbang dengan impaknya terhadap kesihatan serta alam sekitar.

Malaysia menetapkan tarikh akhir Julai 2023 supaya Lynas berhenti mengimport bahan mentah yang mengandungi material radioaktif semulajadi, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Lynas ketika ini melombong bijih mengandungi nadir bumi di Australia sebelum menghantar bahan itu ke kilangnya di Malaysia.

Sahamnya melonjak setinggi 11 peratus dalam dagangan Sydney pagi ini.

“Ini menyelesaikan ketidaktentuan yang menyelubungi sejak pilihanraya umum Mei 2018,” kata penganalisis Ord Minnett Ltd berpangkalan di Sydney, Dylan Kelly, dalam satu nota.

“Lynas akan mengatasi kerugian baru-baru ini kerana keputusan itu bermakna operasi tidak akan terkesan oleh politik di Malaysia untuk masa akan datang,” katanya.

Bagi menangani isu berkaitan pembaharuan lesen, Lynas merancang untuk membina kemudahan baharu di Australia Barat, yang akan memproses sebahagian bahan mentah sebelum dibawa keluar dari negara itu.

Lynas juga perlu membangunkan kemudahan pelupusan kekal baharu di Malaysia bagi mengendalikan sebahagian bahan buangan dan bekerjasama dengan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia.

Kebimbangan terhadap keupayaan Lynas untuk meneruskan operasinya di Malaysia menambah kebimbangan terhadap dominasi China di pasaran selepas nadir bumi tahun lalu disenaraikan antara ‘senjata’ berpotensi dalam perang perdagangan.

-Bloomberg

CATEGORIES
TAGS
Share This