Lewandowski dapat suntikan semangat

Lewandowski dapat suntikan semangat

BERLIN,. Robert Lewandowski berusia 32 tahun hari ini dengan penyerang Bayern Munich itu berada pada tahap terbaik dalam kariernya dan hanya dua kurang daripada rekod jaringan Cristiano Ronaldo dengan 17 gol dalam Liga Juara-Juara menjelang aksi final berdepan Paris Saint Germain.

Skuad dari Munich itu menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Lahir’ buat Lewandowski di pusat latihan menjelang saingan di Lisbon.

Pemain Bayern itu melalui tempoh terbaik dalam kariernya selepas menanduk masuk gol lewat ketika menang 3-0 pada separuh akhir menentang Lyon yang juga gol ke-55 miliknya musim ini.

Lewandowski ialah penjaring terbanyak Liga Juara-Juara musim ini dengan 15 gol, dua kurang berbanding rekod Ronaldo dicipta pada 2013/14 ketika bersama Real Madrid.

Selepas meledak dua kali dan mengumpan untuk dua lagi gol ketika menang 4-1 mengatasi Chelsea pada kelompok 16 terakhir, Lewandowski berkata gol dicipta dalam Liga Juara-Juara ialah untuk menang dan bukan memecahkan rekod Ronaldo.

“Saya rasa bagi setiap pemain, Liga Juara-Juara “ialah sasaran paling besar,” kata Lewandowski yang kalah bersama Dortmund pada final 2013 berdepan Bayern.

Rakan sepasukan, Thomas Mueller, yang merekodkan 21 umpanan dalam Bundesliga musim lalu membantu untuk jaringan ke-34 Lewandowski pada musim 2019/20, berkata bintang Poland itu lebih kepada pencipta berbanding pemusnah.

“Jaringannya membuatkan dia terkenal di seluruh dunia,” kata Mueller. “Tetapi Lewandowski pemain yang sangat ‘berpasukan’ kerana itu kami sangat kuat ketika ini.” – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This