Lewandowski lebih hebat berbanding Messi

Lewandowski lebih hebat berbanding Messi

LONDON,. Legenda Bayern Munich, Lothar Matthaus menyifatkan Robert Lewandowski lebih hebat berbanding, Lionel Messi.

Penyerang antarabangsa Poland berusia 31 tahun itu mencetuskan fenomena apabila meledak dua gol ketika membantu Bayern menewaskan Chelsea dalam aksi kedua kelompok 16 terbaik.

Dua jaringan Lewandowski itu membantu kelab Jerman berkenaan melakar kemenangan 7-1 secara agregat sekali gus menempah pertemuan dengan Barcelona pada aksi suku akhir, awal pagi Sabtu ini.

Bagaimanapun, Matthaus yang membuat 400 penampilan buat Bayern, berkata Bayern tidak perlu gentar dengan kelab gergasi Sepanyol itu.

“Messi berdepan dengan penggantinya sebagai pemain terbaik dunia iaitu Robert Lewandowski.

“Dia adalah pemain terbaik, bukan sekadar penyerang terbaik.

“Barcelona hari ini sudah tidak sama dengan sebelum ini.

“Mereka mungkin memiliki Messi tetapi dia seorang tidak cukup untuk menentang Bayern. Barcelona langsung tidak menggentarkan saya,” kata Matthaus.

Lewandowski membuktikan ketajaman sentuhan penyudahnya apabila meledak 53 gol dalam 44 perlawanan untuk semua kejohanan musim ini.

Dia merekodkan 34 gol dalam 31 penampilan Bundesliga sekali gus membantu Bayern menjulang trofi kejuaraan liga buat kali kelapan berturut-turut, Jun lalu. – Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This