LGM aktifkan Insentif Pengeluaran Getah tampung kejatuhan harga

LGM aktifkan Insentif Pengeluaran Getah tampung kejatuhan harga

KUALA LUMPUR,. Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengaktifkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi Februari dan Mac untuk membantu meringankan beban kejatuhan harga komoditi itu dalam kalangan pekebun.

Timbalan Menteri 1 Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Datuk Seri Wee Jeck Seng, berkata harga getah bagi kedua-dua bulan itu jatuh menyebabkan kerajaan membenarkan perlanjutan masa bagi penghantaran borang tuntutan Februari hingga 20 April ini.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata pekebun kecil getah diminta segera membuat pendaftaran bagi membolehkan mereka memperoleh bantuan.

Katanya, dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, insentif berkenaan bertujuan meringankan beban mereka di dalam keadaan sekarang.

Terdahulu beliau bersama pegawai kementerian dan LGM melawat kilang memproses getah, Getahindus (M) Sdn Bhd di sini bagi memantau tahap kepatuhan industri terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Jeck Seng berkata, kilang pemprosesan getah perlu beroperasi bagi memenuhi permintaan getah diproses.

“Ini bagi memastikan pemprosesan getah tidak terganggu dan memenuhi permintaan getah diproses daripada kilang industri pembuatan sarung tangan dan peralatan perubatan berasaskan getah yang berkaitan.

“Lawatan kementerian juga bagi memastikan pekebun kecil getah masih boleh keluar

menoreh dan meraih pendapatan di dalam keadaan sekarang.

“Ini selari dengan arahan LGM yang membenarkan pekebun kecil dan pelesen beroperasi dengan syarat mematuhi arahan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa,” katanya.

Katanya, penoreh dan pekebun juga perlu mematuhi penjarakan sosial yang ditetapkan iaitu satu meter antara satu sama lain.

“Penoreh atau pekebun harus berada dalam keadaan sihat tanpa gejala-gejala COVID-19 seperti demam, sakit tekak, batuk berlarutan dan susah bernafas.

“Selain itu, pekebun kecil juga perlu memastikan tidak ada kontak dengan mereka yang disyaki atau positif COVID-19. Mereka juga tidak dibenarkan untuk membawa ahli keluarga ketika menoreh,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This