Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

JOHOR BAHRU,. Tindakan sebuah akaun media sosial yang cuba mengaitkan nama bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, disifatkan sebagai satu cubaan mahu menggugat keharmonian PH.

Osman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas, bagaimanapun berkata beliau tidak mendengar sama ada dirinya dicalonkan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti bagi PRK berkenaan.

“Ini akaun Facebook Ops Johor yang cuba memviralkan (isu menjadi calon) yang seolah-olah mahu menggugat perpaduan kesemua parti di bawah PH,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ketika ditanya sama ada kemungkinan dirinya ada dicalonkan sebagai calon PH untuk kerusi berkenaan, beliau berkata ada mendengar desas-desus daripada akar umbi yang mahukannya sebagai calon.

“Saya tidak tahu apa-apa (tetapi) saya ada mendengar bahawa nama saya ada dicalonkan dari akar umbi, sehingga ada yang sampai ke Kuala Lumpur yang mahu mencadangkan saya (sebagai calon).

“Bagaimanapun, saya tidak dengar apa-apa dari pucuk pimpinan tertinggi. Terpulang pada pucuk pimpinan untuk terima (cadangan itu) dan saya sendiri untuk terima,” kata beliau.

Osman berkata setakat ini, belum ada calon yang diumumkan secara rasmi sehingga satu pengumuman khas yang dijangka pada 31 Okt nanti.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai posternya yang digambarkan sebagai calon PH untuk kerusi parlimen Tanjung Piai, yang menjadi viral melalui media sosial dan WhatsApp.

Osman, 67, yang berasal dari Kampung Kayu Ara Pasong, Pontian, pernah bersekolah di daerah Pontian sehingga tamat tingkatan lima.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This