Lim: Hari Bertemu Pelanggan LHDN, JKDM berlangsung minggu depan

GEORGE TOWN,. Hari Bertemu Pelanggan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan diadakan di Kuala Lumpur bermula minggu depan, dalam usaha Kementerian Kewangan untuk mendekati rakyat.

Menterinya Lim Guan Eng berkata Hari Bertemu Pelanggan LHDN berlangsung setiap Rabu, di pejabatnya di Jalan Duta, manakala Hari Bertemu Pelanggan Kastam diadakan setiap Khamis di pejabat JKDM di Kelana Jaya.

Menurut Lim di peringkat awal, Hari Bertemu Pelanggan LHDN dan JKDM berlangsung di Kuala Lumpur mengikut waktu pejabat.

“Rakyat yang ada apa-apa isu atau masalah dan mahu mendapat penerangan lebih lanjut atau mahu penyelesaian menyeluruh, boleh hadir pada hari pelanggan yang diadakan setiap minggu oleh LHDN dan Kastam itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lim berkata ini adalah usaha kementerian itu untuk mendekati dan lebih mesra dengan rakyat supaya masyarakat serta pembayar cukai, mempunyai satu lagi alternatif penyelesaian.

“Program ini juga untuk tangkis khabar angin terhadap agensi-agensi tersebut kerana kita anggap semua pembayar cukai sebagai rakan kongsi, yang sama-sama memberikan sumbangan untuk hasil negara dan melaksanakan pembangunan dan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata pegawai kanan Kementerian Kewangan akan turut hadir untuk membantu memberikan penerangan selain menyelesaikan masalah-masalah berbangkit dengan kedua agensi kerajaan berkenaan.

Orang ramai termasuk pembayar cukai, ejen cukai dan orang awam dialu-alukan hadir ke program berkenaan, katanya.

Sementara itu ketika ditanyakan tentang penstrukturan semula cukai kereta import, Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan berkata perkara itu dibawah skop Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Katanya Kementerian Kewangan dan MITI kini mempunyai jawatankuasa bersama untuk membincangkan pelaburan negara.

“Saya dan Menteri MITI akan bincangkan isu-isu berkaitan pelaburan, kelulusan yang diberikan, selain perbincangan mengenai duti.

“Biarlah pengumumannya dibuat bersama, kerana ini bukan sahaja di bawah MOF, malah juga MITI,” katanya

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )