
Lima ahli Parlimen Pejuang kemuka usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri
KUALA LUMPUR, 16 Okt — Lima Ahli Parlimen Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengemukakan permohonan untuk membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Usul itu dikemukan melalui notis yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, semalam.
Mereka ialah Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Amiruddin Hamzah; Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir; dan Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Seri Dr Shahruddin Md Salleh.
Usul oleh Dr Mahathir adalah kali kedua selepas bekas Perdana Menteri itu mengemukakan usul yang sama pada Mei lepas.
Dalam notis itu, kesemua Ahli Parlimen berkenaan membuat permohonan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ahli Parlimen Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Usul itu dibuat menurut Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3) Dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Setakat ini, usaha Bernama untuk mendapatkan reaksi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat belum mendapat maklum balas.
Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan 10 Ahli Parlimen daripada parti itu turut menghantar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, hari ini.
Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika dihubungi Bernama.
Pengarah Strategi Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam ciapan akaun Twitter rasminya menulis: “Ya, bagi perteguh kepentingan usul, semua Ahli Parlimen Amanah (11) hantar ‘Usul Undi Tidak Percaya’ kpd YDP Speaker sblm 5ptg tadi.”
— BERNAMA