LKIM peruntuk RM9.04 juta baik pulih rumah nelayan di Sabah

LKIM peruntuk RM9.04 juta baik pulih rumah nelayan di Sabah

SANDAKAN,. Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan RM9.04 juta untuk melaksanakan projek baik pulih rumah nelayan di Sabah sejak 2017.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (gambar) berkata usaha di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) LKIM itu telah memanfaatkan 716 nelayan.

“Saya melihat LKIM mempunyai dana untuk membantu nelayan dari segi pembinaan dan membaik pulih rumah nelayan serta pembaikan jeti pendaratan ikan di beberapa lokasi di Sabah.

“LKIM juga sedang melihat cadangan untuk mendirikan sebuah kilang air batu di Beluran melibatkan dana RM1 juta,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak cadangan pembinaan Kompleks Perikanan LKIM di sini, pada Ahad.

Katanya tiga jeti nelayan di Beluran iaitu di Kampung Keramat, Kampung Seri Menanti dan Kampung Muanad 2 akan dinaik taraf, masing-masing dengan kos RM50,000 yang akan memanfaatkan kira-kira 250 nelayan.

Selain itu, Kiandee berkata LKIM juga telah mencadangkan agar sebuah Kompleks Perikanan LKIM di Sandakan dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 bermula tahun depan.

Beliau berkata perancangan untuk membina kompleks itu masih dalam peringkat kajian kesesuaian tapak oleh Universiti Malaysia Sabah.

“Kita melihat tapak tanah Kompleks Perikanan LKIM berkeluasan kira-kira lapan hektar yang dicadangkan itu boleh menempatkan jeti pendaratan secara sistematik dan berpusat di Sandakan sebagai sebuah daerah yang penting dalam industri perikanan Sabah,” katanya. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This