MA63: Sabah Tak Ambil Sikap ‘Tunggu Dan Lihat’

MA63: Sabah Tak Ambil Sikap ‘Tunggu Dan Lihat’

KOTA KINABALU,. Presiden KDM Malaysia Datuk Peter Anthony menafikan kenyataan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing yang mengatakan bahawa kerajaan Sabah telah mengambil sikap “tunggu dan melihat” mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan negeri Sabah yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sedang berusaha keras memperjuangkan MA63 sejak kerajaan negeri baharu terbentuk selepas PRU 14.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Sabah juga memperjuangkan MA63 di Parlimen tetapi pindaan Rang Undang-Undang tidak menerima sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen tahun lepas.

Katanya, sebuah jawatankuasa khas kabinet yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dibentuk untuk membincangkan butir-butir tuntutan MA63 antara kerajaan Pusat, Sarawak dan Sabah.

“Ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri Sabah dalam memperjuangkan MA63 dan menunjukkan bahawa kerajaan negeri ini serius dalam usahanya berhubung perjanjian tersebut,” katanya.

Menurut beliau Shafie sentiasa konsisten dalam mempertahankan hak-hak Sabah termasuk cukai jualan minyak dan gas, dan membantu rakyat Sabah tanpa mengira ideologi politik, agama dan bangsa mereka.

“Ketua Menteri juga sentiasa komited dalam mesyuarat MA63 di Putrajaya, dan hakikat bahawa kita tidak membawa kes itu ke mahkamah tidak bermakna kita tidak berjuang untuk itu.

“Pada pendapat saya, kami tidak sepatutnya dinilai dengan berhujah mengenai isu ini, kerana kami tidak mahu mengancam kestabilan politik negara.

“Masing mungkin lupa bahawa dia tidak pernah menjadi anggota Jawatankuasa Pemandu Kabinet, yang akan membolehkan beliau melihat bagaimana Sabah dan Sarawak telah berusaha keras untuk mempertahankan hak-hak kita,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Masing pada hari Sabtu .

“PRS telah bekerjasama dengan PAS, UMNO dan BN dalam menangguhkan rang undang-undang. Di Sabah, kita telah berjuang untuk MA63 tanpa perlu bekerja dengan PAS, UMNO dan BN, “katanya.

“Sabah berjuang dengan prinsip, dan kami serius dalam perjuangan itu bersama ketua menteri kami,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This