
Madius : Bantuan Tidak Pilih Parti
TAMPARULI: Dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bantuan bekalan makanan hanya diberikan kepada ahli parti-parti tertentu adalah tidak benar.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, dakwaan tersebut tidak berasas dan berbaur fitnah.
“Saya sedar, banyak dakwaan ini berlegar-legar di media sosial, dan saya ingin tegaskan ini tidak tepat sama sekali.
“Kita tidak mempolitikkan bantuan-bantuan yang diberikan. Kita ikhlas dan memberi bantuan dengan penuh integriti khususnya kepada yang kurang berkemampuan dan terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Menurut Madius, mereka yang diutamakan adalah golongan ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan miskin tegar.
“Justeru, sekiranya ada sesiapa yang mempunyai bukti bahawa penyaluran bantuan cuma diberikan kepada ahli parti-parti tertentu tolong maklumkan, supaya kita akan dapat mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen P170 Tuaran berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan 200 bantuan bekalan makanan di Mukim Nabalu, di sini, hari ini./BERITA SABAH