MAFI belanja RM3 juta setahun perkukuh program perosak dan penyakit tanaman

MAFI belanja RM3 juta setahun perkukuh program perosak dan penyakit tanaman

SEREMBAN,. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Pertanian membelanjakan sekurang-kurangnya RM3 juta setahun, dari tahun 2010 sehingga kini bagi memperkukuh Program Pengurusan Perosak dan Penyakit Tanaman.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata Jabatan Pertanian sebahagian daripada Organisasi Perlindungan Tumbuhan Kebangsaan, sentiasa berusaha memastikan pelaksanaan biosekuriti tanaman dan tumbuhan menjadi keutamaan ke arah pertanian yang mampan.

“Peruntukan pembangunan MAFI melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK12 melibatkan pelbagai program, termasuk penambahbaikan sistem kemudahan import dan eksport bagi memenuhi pematuhan piawaian sanitasi dan fitosanitasi antarabangsa.

“Ini bagi memastikan sistem biosekuriti negara sentiasa tersedia untuk melindungi sektor pertanian dan biodiversiti negara daripada kemasukan dan kemerebakan perosak serta penyakit tanaman,” katanya ketika berucap pada Simposium Biosekuriti Tumbuhan 2022 di sini semalam.

Dalam pada itu Ronald berkata penguatkuasaan akta dan peraturan berkaitan juga memainkan peranan penting dalam mengawal kemasukan perosak invasif ke dalam negara.

Beliau berkata penggunaan agen biologi, pembangunan bio-pestisida dan penggalakan populasi musuh semula jadi pada persekitaran bagi kawalan perosak juga penting, dalam usaha mengurangkan kadar sisa baki racun dalam produk pertanian dan alam sekitar.

Selain itu beliau berkata kementerian akan perluaskan Pusat Sehenti Kuarantin Negara (OSQC) di pintu masuk utama pengimportan dan pengeksportan hasil pertanian dan agromakanan negara, bagi terus memperkukuhkan kawalan biosekuriti.

“OSQC menyediakan satu fasiliti bersepadu melibatkan perkhidmatan berkaitan kuarantin dan keselamatan agromakanan seperti pemeriksaan, rawatan kuarantin, pengujian, penyelidikan, pemantauan dan pelupusan, ke atas komoditi pertanian dan produk agromakanan,” katanya.

Jelasnya fasiliti ini dibangunkan dengan menerapkan penggunaan teknologi tinggi, automasi, moden dan standard, bagi memastikan matlamat kawalan biosekuriti tercapai dengan menyokong dan melengkapi aktiviti perdagangan termasuk import, eksport, transit, pindah kapal dan pemprosesan seterusnya komoditi pertanian dan produk agromakanan.

Media sebelum ini melaporkan sebagai permulaan OSQC akan diwujudkan di Pelabuhan Klang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )