MAFI yakin skim insurans industri pertanian dapat direalisasikan tidak lama lagi

MAFI yakin skim insurans industri pertanian dapat direalisasikan tidak lama lagi

JITRA,. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yakin cadangannya berhubung skim insurans untuk pemain sektor pertanian dan agromakanan dapat direalisasikan tidak lama lagi susulan kerjasama syarikat insurans di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata pada masa ini, model polisi insurans itu sedang dibangunkan oleh Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta penyedia insurans.

“Saya rasa dalam masa terdekat ini kita (MAFI) akan dibentangkan dengan model-model polisi yang boleh diwujudkan dengan kerjasama pemain industri dalam bidang insurans ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi bagi September dan Oktober tahun lepas dekat sini, hari ini.

Terdahulu semasa berucap, Ronald berkata pelaksanaan skim insurans itu bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mengindustrikan sektor pertanian dan agromakanan di negara ini, khususnya dalam industri padi dan beras negara menerusi program Smart Bersawah Berskala Besar (Smart SBB).

Smart SBB ini bertujuan mengoptimumkan penggunaan sumber, selain meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman padi dan pengeluaran hasil, katanya, menambah MAFI menyasarkan peningkatan hasil purata per hektar nasional kepada tujuh tan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) berbanding 3.5 tan sekarang.

“Dalam tempoh jangka panjang, program Smart SBB ini dijangka membantu negara mencapai sasaran SSL beras yang telah ditetapkan dalam tempoh RMK12 iaitu sebanyak 75 peratus,” katanya.

Mengenai penyerahan bantuan itu, Ronald berkata MAFI meluluskan peruntukan berjumlah RM2.19 juta kepada 1,009 peladang melibatkan 1,278 hektar di Kawasan Muda yang terjejas oleh bencana banjir pada September dan Oktober tahun lepas.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )