Mah Sing labur RM150 juta bagi fasa pertama pembuatan sarung tangan

Mah Sing labur RM150 juta bagi fasa pertama pembuatan sarung tangan

KUALA LUMPUR,. Mah Sing Group Bhd akan melabur sehingga RM150 juta untuk perbelanjaan modal (capex) bagi fasa pertama cadangan kepelbagaian perniagaan kepada pembuatan dan perdagangan sarung tangan dan produk penjagaan kesihatan yang berkaitan.

Capex termasuklah pembelian 12 barisan pengeluaran sarung tangan baharu dan kilang serta mesin lain seperti dandang, penyejuk, pemampat dan loji rawatan air sisa serta kerja-kerja pembaikan gudang di Klang, Selangor.

“Kumpulan berhasrat untuk membiayai capex melalui dana dalaman, pinjaman bank dan terbitan sehingga RM100 juta nilai nominal Sukuk Murabahah boleh ditukar boleh ditebus untuk tempoh tujuh tahun yang diumumkan pada 24 Sept,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Semalam, pemaju hartanah itu mengumumkan pelannya untuk mempelbagaikan kepada penjagaan kesihatan dengan menceburi pembuatan sarung tangan melalui anak syarikat milik penuh tidak langsung, Mah Sing Healthcare Sdn Bhd.

Mah Sing menyasarkan untuk mula mengeluarkan sarung tangan di kilang sarung tangan pertamanya di Kapar, Klang dengan keluasan 228,800 kaki persegi.

Fasa pertama kilang itu akan menempatkan 12 barisan pengeluaran baharu dengan maksimum kapasiti sebanyak 3.68 bilion unit sarung tangan setahun.

Enam barisan pengeluaran pertama dijangka beroperasi seawal suku kedua tahun depan, diikuti enam barisan pengeluaran lagi dijangka pada suku ketiga 2021.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This