Majikan tidak benarkan bekerja dari rumah kekal aduan tertinggi diterima

Majikan tidak benarkan bekerja dari rumah kekal aduan tertinggi diterima

PULAU INDAH,. Aduan membabitkan majikan tidak membenarkan pekerja bekerja dari rumah (BDR) masih merupakan aduan terbanyak diterima Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi aplikasi ‘Working for Workers’ sejak Februari hingga 6 Julai.

Timbalan Menterinya Datuk Awang Hashim berkata sebanyak 2,154 aduan membabitkan isu tersebut dicatatkan daripada keseluruhan 5,003 aduan yang diterima dalam enam bulan lepas.

“Aduan lain termasuk gaji tidak dibayar atau pembayaran (gaji) lewat sebanyak 1,180 aduan dan potongan upah tidak mengikut undang-undang sebanyak 388 aduan,” katanya kepada pemberita selepas operasi pematuhan di sebuah kilang pembuatan pembungkusan plastik di sini, hari ini.

Sementara itu Awang berkata 793 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446) terhadap majikan atas pelbagai kesalahan sejak Februari sehingga semalam.

Katanya daripada jumlah tersebut, 125 kertas siasatan telah didakwa di Mahkamah Sesyen seluruh negara membabitkan jumlah denda sebanyak RM431,000.

Selain itu, 348 kes membabitkan majikan telah dikenakan kompaun berjumlah RM4.5 juta dengan RM434,000 telah dibayar setakat ini.

“Kebanyakan kesalahan yang dilakukan melibatkan pelanggaran Seksyen 24D Akta 446 kerana menempatkan pekerja di penginapan tanpa perakuan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK),” katanya.

Selain itu beliau berkata majikan juga melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 dan 4 Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020 iaitu tidak mematuhi kehendak minimum atau tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja.

Katanya JTK turut melaksanakan pemeriksaan di 1,293 tempat kerja seluruh negara dalam tempoh yang sama, dengan 187 kompaun berjumlah RM1.6 juta dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), melibatkan pelbagai sektor termasuk perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian.

Selain itu, sebanyak 1,692 premis pekerjaan turut diperiksa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang melibatkan 177 kompaun bernilai RM1.67 juta, katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This