Majlis Presiden Kerajaan PN ditubuhkan, bincang dasar, perkukuh kerjasama parti

Majlis Presiden Kerajaan PN ditubuhkan, bincang dasar, perkukuh kerjasama parti

KUALA LUMPUR,. Mesyuarat antara ketua-ketua parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan Majlis Presiden Kerajaan PN bagi membincangkan dasar-dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PN, dan Presiden Bersatu.

Katanya bagi menyelaras Majlis Presiden yang akan dianggotai oleh ketua parti masing-masing, satu sekretariat yang dianggotai oleh semua Setiausaha Agung parti-parti dalam Kerajaan PN juga ditubuhkan.

“Pada mesyuarat itu juga, parti-parti dalam kerajaan PN turut membincangkan pembentukan sebuah kerjasama politik yang kukuh bagi mewujudkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Ketua-ketua parti yang hadir pada mesyuarat itu ialah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

Turut hadir mewakili ketua-ketua parti yang lain ialah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup, Timbalan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Edward Dagul, Naib Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Paul Igai, Setiausaha Agung MIC Datuk Asojan Muniyandy dan Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This