Makmal mini dadah diserbu di Sungai Petani, rampas dadah lebih RM1 juta

Makmal mini dadah diserbu di Sungai Petani, rampas dadah lebih RM1 juta

SUNGAI PETANI,. Sebuah rumah di kawasan perumahan dekat sini yang disyaki dijadikan makmal mini bagi memproses dadah diserbu polis Khamis lalu, manakala dadah berjumlah lebih RM1 juta, dirampas.

Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kegiatan itu terbongkar selepas anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, membuat serbuan di dua lokasi di Alor Setar dan menahan dua lelaki berusia 43 tahun, pada hari sama.

“Dua suspek lelaki warga tempatan itu masing-masing bekerja sebagai peniaga perabot dan mekanik. Suspek pertama ditahan pada pukul 5.30 petang di sebuah rumah di Taman Sultan Abd Halim, manakala suspek kedua ditahan pada pukul 6.30 petang di sebuah rumah di Taman Pulasan, Alor Mengkudu.

“Polis merampas satu peket plastik berisi bahan dipercayai dadah jenis heroin seberat 5.8 gram (g) daripada suspek pertama dan 13 ketulan dadah dipercayai jenis heroin seberat 5.89 kilogram (kg) serta dua bungkus plastik lutsinar berisi dadah dipercayai syabu seberat 200.50g daripada suspek kedua,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya, susulan penahanan kedua-dua suspek itu polis melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di kawasan perumahan, di sini pada 8.15 malam hari sama di mana sebanyak 122 bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan dadah dipercayai jenis heroin seberat 54.84kg ditemui.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut polis di ruang bawah tangga rumah tersebut kemudiannya menemukan enam lagi bungkusan, dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 6.29kg dan satu ketulan mampat berisi bahan disyaki dadah jenis heroin base seberat 375.1g.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah 60.73kg heroin, 6.49kg syabu dan 375.1g heroin base, yang mana nilai keseluruhan rampasan dadah ialah RM1,095,000 dan jika terlepas ke pasaran boleh digunakan kira-kira 300,000 penagih,” katanya.

Katanya, polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah yang ditemui di ruangan dapur rumah terbabit, beberapa buah kenderaan serta barangan lain.

Kamarul Zaman berkata rumah tersebut dipercayai dijadikan sebagai makmal mini oleh suspek sejak tiga bulan lalu, untuk memproses dadah yang seterusnya akan diedarkan untuk pasaran di negeri ini dan negeri jiran.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan sekiranya terdapat anggota sindiket lain yang terlibat dan kemungkinan akan ada beberapa lagi tangkapan selepas ini,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 9 Sept dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )