Makmal Wuhan, polemik punca COVID-19

Makmal Wuhan, polemik punca COVID-19

CHINA,. Terletak di kawasan berbukit di pinggir Wuhan yang menjadi pusat krisis coronavirus, makmal biokeselamatan dikawal rapi di China kini dituduh Amerika Syarikat (AS) punca pandemik.

Saintis Chia sebelum ini mendakwa virus berkenaan mungkin menjangkiti manusia daripada haiwan di pasar yang menjual haiwan liar di Wuhan.

Namun, kewujudan makmal itu menghangatkan teori konspirasi kononnya virus itu tersebar dari fasiliti berkenaan.

AS membangkitkan tuduhan itu dengan Setiausaha Negaranya, Mike Pompeo, berkata pegawainya sedang melakukan penyiasatan penuh untuk mengkaji bagaimana virus itu boleh tersebar di dunia.

Beberapa persoalan utama mengenai Institusi Virologi Wuhan timbul.

Institut itu menempatkan China Centre for Virus Culture Collection, iaitu bank virus terbesar di Asia yang menyimpan lebih daripada 1,500 strain, berdasarkan laman webnya.

Kompleks itu juga mempunyai makmal keselamatan maksimum tertinggi di Asia untuk mengendalikan patogen Kelsa 4 (P4) – virus berbahaya dengan ancaman tinggi jangkitan manusia-manusia seperti Ebola.

Makmal bernilai 300 juta yuan (RM185 juta) itu siap pada 2015 dan dibuka pada 2018, dengan pengasas firma bio-industri Perancis, Alain Merieux, bertindak sebagai konsultan pembinaannya.

Institut itu juga memiliki makmal P3 yang beroperasi sejak 2012.

Makmal P4 berkeluasan 3,000 meter persegi itu, terletak dalam bangunan berbentuk segi empat dengan tambahan bangunan berbentuk silinder, berhampiran dengan kolam di kaki bukit di luar Wuhan.

Dalam kunjungan terbaru, AFP tidak melihat sebarang tanda wujudnya aktiviti.

Poster di luar kompleks itu tertulis: “Pencegahan dan Kawalan Kuat, Jangan Panik, Dengar Pengumuman Rasmi, Percaya kepada Sains, Jangan Sebar Khabar Angin.”

The Washington Post dan Fox News memetik sumber dirahsiakan identitinya, menyuarakan kebimbangan virus itu mungkin berpunca – secara tidak sengaja – daripada fasiliti berkenaan.

Kabel diplomatik AS yang dilihat The Washington Post mendedahkan pegawai bimbang standard keselamatan tidak memadai terhadap cara penyelidik menguruskan coronavirus kelawar seperti SARS di makmal dengan kawalan keselamatan tinggi itu.

Fox News berkata, ‘kes pemula’ mungkin dijangkiti strain virus kelawar yang dikaji di fasiliti itu dan menjangkiti populasi di Wuhan.

Presiden AS, Donald Trump, ketika ditanya mengenai teori makmal itu, berkata pihaknya mendengar semakin banyak cerita dan AS sedang melakukan siasatan rapi.

Pelbagai teori konspirasi berkaitan tuduhan coronavirus itu berasal daripada makmal berkenaan tersebar secara dalam talian.

Institut itu menolak untuk memberikan kenyataan, semalam, tetapi ia sudah mengeluarkan kenyataan menafikan khabar angin itu, Februari lalu.

Institut itu berkata, pihaknya menerima sampel virus yang ketika itu belum diketahui pada 30 Disember, menentukan turutan genomnya pada 2 Januari dan melaporkan maklumat mengenai patogen terbabit pada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Januari.

Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian semalam, menolak dakwaan bahawa makmal itu bertanggungjawab terhadap wabak berkenaan.

“Individu yang arif akan mudah faham terhadap tujuan mewujudkan kekeliruan, mengalih tumpuan umum dan mengelak daripada tanggungjawab,” katanya yang pernah mengeluarkan teori konspirasi tentera AS mungkin membawa virus itu ke China.

Saintis percaya virus itu berasal daripada kelawar sebelum menjangkiti manusia melalui spesis perantara – berkemungkinan tenggiling yang terancam yang sering diseludup di China untuk perubatan tradisional.

Namun penyelidikan oleh kumpulan saintis China yang diterbitkan di The Lancet pada Januari, mendedahkan pesakit pertama COVID-19 tidak mempunyai kontak dengan pasar yang terkenal di Wuhan dan begitu juga 13 daripada 41 kes yang pertama kali disahkan.

Penyelidik institut itu, Shi Zhengli, yang juga antara pakar terkemuka terhadap coronavirus kelawar di China dan timbalan pengarah makmal P4, antara ahli kumpulan yang menerbitkan kajian pertama yang mencadangkan SARS-CoV-2 berasal daripada kelawar.

Dalam wawancara dengan Scientific American, Zhengli berkata, turutan genom SARS-CoV-2 tidak sepadan dengan mana-mana coronavirus kelawar di makmalnya yang sebelum itu dikutip dan dikaji.

Sementara itu, Penyelidik Biokeselamatan, King’s College London, Filippa Lentzos, berkata meskipun tiada bukti yang mengesahkan teori kemalangan di makmal, ‘tiada bukti jelas’ terhadap virus itu berasal daripada pasar basah terbabit.

“Untuk saya, asal pandemik masih soalan yang tidak terjawab,” katanya kepada AFP.

Beliau berkata, ada tanda yang mungkin menunjukkan potensi kemalangan makmal daripada penyelidikan asas saintifik.

“Namun, semua itu memerlukan penyiasatan teliti untuk sesiapa berkata dengan yakin mengenai asal pandemik,” katanya.

David Heymann, profesor epidemiologi penyakit berjangkit di London School of Hygiene and Tropical Medicine, berkata tiada bukti mengenai sumber asal tetapi ia berkait rapat dengan virus kelawar.

“Ada banyak teori mengenai bagaimana manusia boleh dijangkiti tetapi saya tidak fikir ia betul-betul berasas,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This