Malaysia Airlines tawar potongan sehingga 35 peratus bagi tambang ke semua destinasi

Malaysia Airlines tawar potongan sehingga 35 peratus bagi tambang ke semua destinasi

KUALA LUMPUR,. Malaysia Airlines Bhd menawarkan potongan sehingga 30 peratus ke atas tambang Kelas Ekonomi dan sehingga 35 peratus untuk Kelas Perniagaan bagi semua destinasi bermula 5 hingga 18 November sempena promosi Jualan Akhir Tahun (YES).

Dalam kenyataan pada Isnin, syarikat penerbangan itu berkata promosi tersebut sah untuk perjalanan dari 5 November 2019 hingga 30 September 2020.

Mengikut kempen itu, pelanggan Kelas Ekonomi boleh menikmati perjalanan pergi-balik dan tambang termasuk semua daripada serendah RM661 untuk destinasi Bali, mulai RM1,299 bagi penerbangan ke Seoul, daripada RM1,569 ke Tokyo, daripada RM1,699 ke destinasi Sydney dan daripada serendah RM2,999 ke London, dengan berlepas dari Kuala Lumpur.

Sementara itu, bagi yang melakukan perjalanan sehala dengan Kelas Ekonomi untuk ke destinasi tempatan, mereka boleh menikmati tambang termasuk semua daripada serendah RM89 bagi perjalanan ke Pulau Pinang, daripada RM129 untuk ke Kuching dan serendah RM179 bagi penerbangan ke Kota Kinabalu.
Malaysia Airlines berkata promosi itu terpakai bagi semua kategori tambang Kelas Ekonomi — Basic, Smart dan Flex — untuk perjalanan antarabangsa serta Economy Lite untuk perjalanan tempatan sahaja.

Semua kategori tambang Kelas Ekonomi turut ditawarkan bersama hidangan ringan dan hiburan dalam penerbangan secara percuma.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Lau Yin May berkata jualan itu diadakan bersempena kempen Fly Malaysia, dalam usaha menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Cara terbaik untuk menikmati keindahan Malaysia, ialah terbang bersama Malaysia Airlines, jadi tempahlah sekarang dan nikmati Malaysian Hospitality (layanan baik Malaysia) pada harga terbaik,” katanya.

Beliau berkata tambang itu turut ditawarkan berserta hidangan ringan percuma serta elaun bagasi daftar masuk (kecuali Economy Lite) tanpa caj tersembunyi bagi pembelian secara dalam talian.

Dalam tempoh kempen ini, Malaysia Airlines Holidays (MHholidays) secara eksklusif juga membuat tawaran potongan sehingga 50 peratus bagi pakej gabungan penerbangan dan hotel untuk semua penerbangan yang dikendalikan Malaysia Airlines.

Syarikat penerbangan itu juga menawarkan pelbagai perkhidmatan nilai tambah untuk dinikmati pelanggan semasa tempoh kempen, termasuk diskaun 22 peratus ke atas MHinsure dengan memasukkan kod promosi MHINSURE22 di https://mas-mawl.poweredbycovermore.com/, pakej nilai untuk 10 kilogram bagasi tambahan, tempat duduk standard serta pakej premium dengan akses ke Golden Lounge Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selain tempat duduk dengan ruang kaki lebih luas.

Potongan 11 peratus juga diberikan bagi perkhidmatan pengangkutan dari lapangan terbang ke tempat penginapan dengan memasukkan kod promosi MHYEARENDSALE di https://malaysiaairlines.conxxe.com/en/.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This