Malaysia akan beri penekanan pada kerjasama serantau apabila ambil alih Pengerusi ASEAN 2025 – Penganalisis

Malaysia akan beri penekanan pada kerjasama serantau apabila ambil alih Pengerusi ASEAN 2025 – Penganalisis

KUALA LUMPUR,. Malaysia, sebagai pemain geopolitik yang dinamik, dijangka memberi penekanan ke atas jalinan kerjasama serantau dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN di sebalik ketidaktentuan geopolitik serantau dan antarabangsa sedang muncul semasa ia mengambil alih jawatan pengerusi kumpulan itu pada 2025.

Timbalan Pengarah Eksekutif Institut Asia Eropah (AEI) yang juga Prof Madya Universiti Malaya Dr Roy Anthony Rogers berkata jawatan pengerusi itu akan meningkatkan peranan Malaysia dalam hal ehwal serantau.

Ini kerana Malaysia merupakan antara anggota pengasas ASEAN dan pada masa yang sama kumpulan itu juga telah menjadi asas dasar luar negara sejak 1970-an, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata persaingan berterusan antara Amerika Syarikat dan China, Laut China Selatan dan krisis Myanmar yang meletus pada 2021, akan menjadi antara cabaran utama yang perlu diuruskan oleh Malaysia apabila ia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.

Beliau berkata semasa Malaysia menjadi pengerusi pada 2015, ASEAN telah menerima pakai tema “ASEAN 2025: Forging Ahead Together”, satu rangka tindakan untuk memperkukuh kerjasama antara negara anggota dalam usaha membina sebuah Komuniti ASEAN menjelang 2025.

“Saya percaya dokumen ini wajar menjadi asas untuk kita mempertingkat lagi kerjasama ini…untuk mengukuhkan lagi semangat komuniti dalam ASEAN, dan bergerak ke hadapan untuk menghadapi cabaran baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bernama TV “Perspektif: Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025”, pada Jumaat.

Beliau juga menjangkakan Malaysia akan mengguna pakai diplomasi Track 2 dengan lebih meluas untuk meningkatkan kerjasama antara negara anggota.

Walaupun Diplomasi Track 1 melibatkan saluran diplomatik di peringkat kerajaan-dengan-kerajaan, beliau berkata diplomasi Track 2, yang biasanya disertai oleh entiti seperti komuniti perniagaan dan pemikir, juga memainkan peranan penting dalam menyediakan idea yang membina dan mempengaruhi pembuat keputusan di peringkat yang lebih tinggi.

Roy Anthony juga menyuarakan keyakinannya bahawa sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia akan memberi penekanan dalam memperkukuh kerjasama ekonomi di sub wilayah seperti Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Singapura (IMS GT), dan Kawasan Pertumbuhan Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina-ASEAN Timur (BIMP EAGA).

“Ia adalah kawasan pertumbuhan yang ditekankan oleh Malaysia sekarang. Kerajaan juga memberi banyak penekanan kepada Sabah dan Sarawak, seperti BIMP EAGA, yang mempunyai banyak potensi, terutama apabila Indonesia memindahkan ibu kotanya ke Nusantara di Borneo.

“Jadi saya amat berharap projek-projek yang telah dimulakan sejak beberapa tahun lalu ini dapat diperkasakan lagi dan dapat membantu menggalakkan kerjasama dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN,” katanya.

Beliau berkata selain negara anggota ASEAN, Malaysia wajar memimpin ASEAN untuk bekerjasama rapat dengan organisasi serantau lain, termasuk Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), Kesatuan Eropah serta Negara-negara Teluk.

Laos akan menyerahkan kepimpinan ASEAN untuk 2025 pada Sidang Kemuncak ASEAN dari 8 hingga 11 Oktober.

Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

ASEAN yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, kini dianggotai 10 negara – Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam. Timor-Leste masih menunggu untuk menjadi anggota penuh kumpulan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This