
Malaysia antara lima negara bukan EU hantar pelajar ke UK – Charles Hay
KUALA LUMPUR, 4 Sept — Malaysia kekal satu daripada lima negara bukan Kesatuan Eropah (EU) yang menghantar pelajar ke United Kingdom (UK), dan ini merupakan bukti hubungan kukuh menerusi pendidikan yang menjadi tonggak utama dalam hubungan kedua-dua negara sejak sekian lama, kata Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay.
Hay berkata kira-kira 19,000 warga Malaysia melanjutkan pengajian di UK tahun lalu, dan jumlah itu mungkin lebih rendah tahun ini disebabkan COVID-19.
“Dengan rekod prestasi akademik dan penyelidikan yang cemerlang, universiti UK sangat dicari, dan graduan UK adalah antara yang paling banyak diambil bekerja di dunia menurut QS Graduate Employability Rankings,” kata Hay dalam ucapannya pada majlis penyampaian anugerah Biasiswa Chevening kepada 38 rakyat Malaysia di kediaman rasminya di sini, semalam (3 Sept).
Mengulas lanjut, beliau berkata setelah berlakunya pandemik COVID-19, kerajaan British dan sektor pendidikan bekerjasama untuk memastikan aspek kesihatan dan keselamatan semua pelajar Malaysia, termasuk sarjana Chevening, di negara ini.
“Anda boleh melanjutkan pengajian dengan kombinasi pembelajaran dalam talian dan secara perseorangan, mendapat sokongan sepenuhnya dari universiti masing-masing dan Sekretariat Chevening, serta bimbingan terkini daripada Study UK,” katanya.
Hay juga berharap dapat melihat penglibatan aktif sarjana Chevening Malaysia dalam aktiviti Jawatankuasa Alumni Chevening Malaysia untuk memastikan kesinambungan jaringan alumninya yang kukuh dan dinamik di seluruh Malaysia.
“Kami menantikan anda terus berhubung dan memelihara hubungan baik dengan kami, kerana perjalanan Chevening anda tidak akan berakhir walaupun setelah tamat pengajian,” katanya.
Hay berkata, Sekretariat Chevening menerima sekitar 800 permohonan daripada rakyat Malaysia, hanya 38 yang terpilih untuk mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang bagi tahun akademik 2020/21 – termasuk seorang Felo Chevening yang akan mengikuti kursus jangka pendek di Pusat Pengajian Islam Oxford yang berprestij.
Penerima biasiswa akan mengikuti kursus di universiti terkemuka di UK dalam pelbagai bidang termasuk persekitaran dan perubahan iklim, hak asasi manusia, dan dasar awam, serta seni dan media.
Sementara itu, dalam majlis sama, wartawan BERNAMA Joan Santani menjadi wartawan pertama yang mewakili agensi berita menerima anugerah untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Sarjana Kewartawanan di Birkbeck, University of London.
“Saya sangat berbesar hati menjadi penerima Biasiswa Chevening yang berprestij ini dari kerajaan UK dan bangga menjadi wartawan pertama dari BERNAMA yang diberikan biasiswa ini,” katanya.
Penerima lain, Tengku Muhd Muzaffar Tengku Muda dari Terengganu, yang akan menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Kewangan di Universiti Lancaster, berkata Chevening adalah lebih daripada sekadar biasiswa dan ia adalah jalan yang dirancang untuk mempromosikan kecerdasan dan pertukaran pemikiran dalam komunitinya yang luas.
Adeline Ng Kai Wen, yang memilih untuk mengikuti pengajian Sarjana Alam Sekitar dan Pembangunan di King’s College London, berkata menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana di universiti yang terkenal di dunia adalah impian tinggi yang menjadi kenyataan dengan komitmen Chevening dalam menyokong pemimpin masa depan.
Malaysia merupakan penerima anugerah Chevening kedua terbesar di ASEAN, dan kini mempunyai lebih daripada 1,700 alumni Chevening di Malaysia.
— BERNAMA