Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan menarik bagi China – MIDA

HANGZHAO (China),. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) optimis Malaysia akan terus menjadi destinasi yang menarik untuk pelaburan China walaupun pelaburan rendah dari negara itu pada tahun ini.

Pengerusi MIDA Datuk Abdul Majid Khan berkata beberapa insentif disediakan, terutamanya dalam Belanjawan 2020, bagi pelabur dari China untuk mempercepatkan proses pelaburan.

Dalam pengumuman Belanjawan 2020 pada 11 Okt, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Malaysia akan mewujudkan “saluran khas” untuk mempercepatkan pelaburan langsung asing (FDI) dari China di bawah InvestKL.

“China adalah peserta baharu. Sejak lima tahun lepas, China telah menjadi pengeksport modal, secara serius, ke Malaysia dan sejak tiga tahun lepas dalam sektor pembuatan, China telah mendahului sebenarnya.

“Tetapi disebabkan perang perdagangan dan beberapa pelarasan di China sendiri, saya fikir angka pada tahun ini kurang sedikit.

“Bagaimanapun, kita sebenarnya mempunyai lebih RM50 bilion nilai projek dalam perbincangan yang dalam perancangan. Oleh itu, kami berpendapat pada akhir tahun atau awal suku tahun depan mungkin terdapat hasil yang lebih baik,” katanya pada sesi panel bertajuk “Mengukuhkan Kerjasama Jangka Panjang antara China dan ASEAN” di sini pada Khamis.

Abdul Majid menjawab soalan mengenai pelaburan China yang merosot di Malaysia pada tahun ini berbanding dengan AS.

Menurut laporan berita yang memetik statistik daripada MIDA, pelaburan China ke Malaysia separuh kepada US$1.7 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2019 berbanding tahun lepas.

Menangani kebimbangan mengenai pelaburan China di Malaysia, Abdul Majid berkata rakyat tempatan terdiri antara 80 peratus dan 90 peratus daripada tenaga kerja syarikat China yang beroperasi di Malaysia, dan syarikat menyokong usaha untuk mewujudkan pusat kecemerlangan untuk menaik taraf pekerja tempatan.

“Apabila pelabur China mula berada di Malaysia dalam tempoh lima tahun lepas dalam jumlah yang besar, (terdapat) banyak isu (kemudiannya).. Persoalan China cuba mengimport seluruh rantaian bekalan di mana buruh tempatan diabaikan (timbul) dan juga sumber tempatan… saya fikir kini terdapat perubahan,” katanya.

Sementara itu, pelaburan dari AS meningkat tujuh kali ganda kepada US$5.9 bilion berikutan dana dialihkan dalam persekitaran pertikaian perdagangan antara AS dan China yang berterusan.

Perdagangan dua hala antara China dan ASEAN meningkat sebanyak 14.1 peratus kepada US$587.87 bilion pada 2018 berbanding pada 2017.

China telah menjadi rakan dagang utama ASEAN untuk 10 tahun berturut-turut, manakala ASEAN telah menjadi rakan dagang ketiga terbesar China selepas Kesatuan Eropah dan AS selama lapan tahun berturut-turut.

Jurang antara jumlah dagangan China-ASEAN dan China-AS berkurangan dengan ketara sebanyak 33 peratus daripada US$68.9 bilion pada 2017 kepada US$457 bilion pada 2018, menunjukkan potensi besar bagi kerjasama China-ASEAN untuk terus berkembang, terutamanya dalam suasana perlindungan di barat.

Sesi itu dikendalikan oleh Ketua Pengarang Astro AWANI Kamarul Bahrin Haron.

Duta Khas Presiden Seychelles bagi Duta ASEAN Nico Barito dan Pengarah Urusan Inspiration Inc Bryan Yang antara ahli panel pada sesi itu, yang diadakan di Forum Ekonomi China Dunia (WCEF) Ke-11 di sini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )