Malaysia komited perkukuh hubungan dua hala dengan AS – MITI

Malaysia komited perkukuh hubungan dua hala dengan AS – MITI

KUALA LUMPUR,. Malaysia komited untuk terus bekerjasama dengan ekonomi-ekonomi global demi faedah bersama, termasuk Amerika Syarikat (AS) yang negara telah menjalin hubungan dua hala kukuh lebih enam dekad dari segi perdagangan dan pelaburan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata perdagangan dua hala dengan AS berkembang sebanyak 1.2 peratus pada 2018 kepada RM155.76 bilion, yang menyumbang 8.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada tahun itu.

Begitu juga, eksport ke AS meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada RM90.81 bilion – yang tertinggi dicatatkan sejak 2008, katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada lawatan kerja akan datang oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke AS, dijangka ia akan meningkatkan lagi momentum yang akan menghasilkan kerjasama ekonomi lebih kukuh antara kedua-dua negara, kata MITI.

Ini susulan lawatan perdagangan dan pelaburan ke AS pada awal tahun ini diketuai Menteri MITI Datuk Darell Leiking, yang telah mengadakan mesyuarat “penuh hormat dan membina” dengan pegawai dan pelabur AS.

“Kerjasama erat selama beberapa dekad dijalin antara Malaysia dan AS melangkaui kerjasama ekonomi dan mereka telah membentuk asas kukuh untuk pertumbuhan kita di masa depan,” kata kementerian itu.

Setakat Disember 2018, sejumlah 809 projek pembuatan dengan penyertaan daripada AS dilaksanakan di Malaysia dengan jumlah pelaburan RM74 bilion (US$21.9 bilion).

Projek berkenaan telah mewujudkan 204,536 peluang pekerjaan.

Sementara itu, bagi separuh pertama 2019, Malaysia meluluskan pelaburan bernilai RM11.7 bilion (US$2.8 bilion) daripada AS dalam sektor pembuatan, menurut MITI.

Keputusan dibuat syarikat terkemuka Amerika seperti Intel Corporation, Western Digital, Honeywell, Boston Scientific, Motorola dan Spirit Aerospace untuk mewujudkan operasi mereka di Malaysia membuktikan kekuatan negara sebagai destinasi pelaburan yang menarik, katanya.

“Ini diperkukuhkan dengan fakta bahawa kita telah menerima komitmen daripada pelabur AS sedia ada di Malaysia bahawa mereka akan terus melaksanakan pelaburan semula signifikan untuk pengembangan seterusnya, mempelbagaikan portfolio serta dalam penyelidikan dan pembangunan – yang menonjolkan lagi keyakinan mereka terhadap prospek ekonomi Malaysia,” katanya.

MITI berkata kementerian akan terus giat dalam libat urus dan bekerjasama dengan syarikat AS di Malaysia serta dewan perdagangan Amerika, termasuk Dewan Perdagangan Amerika Malaysia (AMCHAM) dan Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC), untuk mengumpul maklum balas membina yang akan membantu ia memastikan iklim perniagaan di Malaysia kekal kondusif.

Menurutnya, tatkala Malaysia terus menerima pelaburan daripada AS, negara tidak harus terlepas pandang akan hakikat bahawa ia juga mempunyai kehadiran yang kukuh di negara berkenaan.

“Setakat ini, bersama-sama dengan dua penggiat terbesar, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Genting Malaysia Bhd, kita mempunyai lebih 45 syarikat Malaysia yang telah melabur lebih US$14 bilion dalam pelbagai sektor seperti hiburan dan resort, teknologi maklumat dan komunikasi, perkhidmatan, oleo-kimia, pembungkusan perindustrian, perabot dan perbankan,” kata MITI.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This