Malaysia mungkin saksi KDNK suku ketiga yang lebih baik, kata Maybank IB
KUALA LUMPUR,. Malaysia mungkin menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar suku ketiga yang lebih baik, disokong oleh pertumbuhan lebihan dagangan pada suku ketiga 2020, selepas negara mencatatkan penurunan 17.7 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2020, kata Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).
Ia berkata eksport melantun sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2020, import susut kepada -6.3 peratus tahun ke tahun dan lebihan dagangan melonjak 68.4 peratus tahun ke tahun kepada RM60.4 bilion, menandakan pertumbuhan permintaan luaran bersih pada suku sebelumnya selepas merosot dalam suku keempat 2019.
Bagaimanapun, permintaan domestik tidak sekata pada suku lepas dengan import barangan modal menyusut -12.6 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2020, menunjukkan kelemahan berterusan dalam pembetukan atau pelaburan modal tetap kasar sebenar sementara import barangan penggunaan meningkat +4.6 peratus tahun ke tahun, dan ini amat menggalakkan untuk penggunaan swasta sebenar.
“Sementara menantikan lebih banyak petunjuk utama ekonomi untuk September 2020 lengkap bagi menggambarkan situasi ekonomi pada suku ketiga 2020, kami menjangkakan KDNK sebenar suku ketiga 2020 akan menyusut dengan penurunan yang lebih rendah iaitu -3.5 peratus tahun ke tahun berbanding -17.1 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2020,” katanya dalam satu nota penyelidikan di sini hari ini.
Maybank IB berkata eksport pembuatan pulih sebanyak 6.8 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2020 berbanding -12.6 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2020.
Pada bulan September sahaja, eksport pembuatan melambung sebanyak 16.3 peratus tahun ke tahun berbanding -0.1 peratus tahun ke tahun pada Ogos, dipacu oleh lonjakan dalam eksport elektrik dan elektronik yang mengukuh 33 peratus tahun ke tahun pada bulan berkenaan dan peningkatan dalam produk getah (115.8 peratus), diikuti oleh perolehan untuk produk besi dan keluli (30.3 peratus); peralatan optik dan saintifik (6.2 peratus), produk kayu (15.2 peratus), dan mesin, peralatan dan bahagiannya (5.0 peratus).
Sementara itu, Maybank IB berkata prospek industri yang terus kekal menggalakkan berikutan meningkatnya kapasiti pengeluaran untuk sektor, akan mewujudkan permintaan teknologi yang sihat.
— BERNAMA