Malaysia perlu perkhidmatan kesihatan swasta yang dinamik – Dr Dzulkefly
KUALA LUMPUR,. Mewujudkan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta berasaskan nilai yang lengkap dengan pembiayaan kesihatan selain transformasi penjagaan kesihatan awam, adalah antara pembaharuan yang ingin dilakukan oleh Malaysia dalam mewujudkan ekosistem penjagaan kesihatan berasaskan nilai di negara ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata walaupun tanggungjawab kerajaan adalah untuk memastikan akses kepada penjagaan berkualiti tinggi yang mampu untuk rakyat, tentu saja sangat baik untuk mempunyai sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta yang dinamik.
“Sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta yang dinamik pastinya dapat dicapai apabila sektor awam dan swasta bergerak seiring dan tidak secara berasingan,” katanya pada sidang pleno yang diadakan sempena Persidangan Pengurusan Hospital 2019 di Pusat Konvensyen Kebangsaan, Hanoi, Vietnam, pada Rabu (11 Sept).
Salinan teks ucapan beliau dikeluarkan kepada media di sini pada Jumaat.
“Saya benar-benar ingin melihat beberapa pembaharuan pengawalseliaan sektor swasta yang konkrit dengan memupuk penjagaan kesihatan swasta berasaskan nilai.
“Kajian pengawalseliaan bersama pasti akan dilakukan dan semua pembaharuan akan difasilitasi oleh profesional kesihatan, menyediakan perkhidmatan kesihataan di hospital dan klinik, institusi pembiahyaan, insurans kesihatan, organisasi penjagaan terurus dan Takaful,” katanya.
Tujuan pembaharuan sektor swasta adalah untuk memperkenalkan amalan massa global, terutamanya penjagaan kesihatan berasaskan nilai dan pengawasan sektor kesihatan swasta, dan meletakkan asas pengawalseliaan untuk mewujudkan dan membolehkan persekitaran untuk sektor awam dan swasta.
Berkongsi pandangannya sebagai salah seorang panelis pada persidangan itu, Dr Dzulkefly menekankan dapatan akhir kajian holistik adalah untuk mengukuhkan penjajaran dan harmonisasi peraturan dan juga untuk mengenal pasti dan menangani jurang dan kelemahan dalam kedua-dua instrumen pengawalseliaan, kapasiti pengawal selia dan mengurangkan konflik nyata atau apa yang dianggap konflik kepentingan.
— BERNAMA