Malaysia perlukan kerajaan, perdana menteri yang prihatin untuk tangani COVID-19

Malaysia perlukan kerajaan, perdana menteri yang prihatin untuk tangani COVID-19

KOTA KINABALU,. Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata Malaysia memerlukan kerajaan dan perdana menteri yang prihatin ketika negara mendepani masalah penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata penularan pandemik itu tidak boleh dikawal dengan baik sekiranya kerajaan tidak stabil.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah terbukti dapat menangani COVID-19 secara teratur dan rapi. Oleh itu, keadaan COVID-19 di negara kita terkawal ketika ini.

“Selepas sahaja diumumkan sebagai Perdana Menteri, perkara pertama yang beliau (Muhyiddin) lakukan ialah mahu susun cara kita menangani COVID-19. Sebab itu pada awalnya, hanya dua jurucakap yang boleh bercakap mengenai COVID-19 iaitu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kerana kita mahu maklumat yang disampaikan tepat dan sahih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra di Dewan Terbuka Kampung Ulu Putatan dekat sini hari ini. Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin dan calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Petagas Datuk Seri Arsit Sedi.

Saifuddin berkata di saat negara sedang menghadapi situasi tidak menentu ketika ini, Muhyiddin merupakan individu paling sesuai dan berkelayakan untuk mengetuai Kerajaan Persekutuan.

“Beliau (Muhyiddin) insan paling sesuai, paling prihatin untuk menjaga negara kita, beliau tidak pernah mengejar untuk menjadi perdana menteri namun apabila memegang jawatan itu, beliau kini melaksanakannya dengan cukup baik,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan di saat Yang di-Pertuan Agong gering, Saifuddin berkata perkara itu jelas menunjukkan beliau (Anwar) tidak menghormati Seri Paduka Baginda.

Saifuddin berkata tindakan Ahli Parlimen Port Dickson itu membuat sidang akhbar pada ketika seluruh negara sedang mendoakan kesembuhan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menunjukkan wajah sebenar keinginan Anwar untuk menduduki kerusi perdana menteri.

“Saya orang Pahang, Agong itu Sultan saya, saya marah Anwar buat begitu. Nak sangat jadi PM (perdana menteri), buat sidang media hari ini, di saat kita tahu keadaan Seri Paduka Baginda yang sedang gering, ini satu tindakan yang tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Saifuddin juga berkata dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson itu telah mengganggu gugat kebajikan rakyat dan situasi ekonomi negara yang baharu dibuka semula selepas negara berdepan ancaman pandemik COVID-19.

“Saham merudum selepas sidang media beliau malah kita kini dalam keadaan masih dihantui pandemik COVID-19 dan di sini (Sabah) pula sedang dalam proses Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 Sept ini.

“Banyak perkara sedang kita hadapi tetapi beliau melakukan sesuatu tindakan yang tidak membantu malah mengganggu kebajikan rakyat,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This