Malaysia pertimbang laksana gelembung perjalanan dengan wilayah status hijau

Malaysia pertimbang laksana gelembung perjalanan dengan wilayah status hijau

PUTRAJAYA,. Malaysia sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan gelembung perjalanan dengan wilayah berstatus hijau dalam usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi akibat penularan pandemik COVID-19, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) lebih tertumpu kepada zon hijau tertentu dan bukannya menunggu sesebuah negara itu diisytiharkan sepenuhnya bebas daripada COVID-19.

“Kami tidak lagi melihat negara (secara keseluruhan) tetapi lebih kepada destinasi tertentu,” katanya yang memetik Langkawi di Malaysia sebagai zon status hijau dan Bali di Indonesia sebagai contoh.

“Jika kita mahu menunggu sesebuah negara untuk bertukar kepada status hijau, ia mungkin berubah semalaman,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen Meet in Malaysia di sini pada Jumaat.

Nancy berkata MOTAC dan Kementerian Luar akan mengadakan pertemuan pada Isnin untuk membincangkan dan mengenal pasti wilayah berstatus hijau yang boleh bekerjasama dengan Malaysia mengenai cadangan gelembung perjalanan.

Wilayah yang dipertimbangkan oleh Malaysia meliputi dari Australia, Brunei, China, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Kemboja dan Vietnam.

“Ia boleh berjaya jika wujud persetujuan antara negara berkenaan. Kami sedang mencari negara-negara yang dapat membuka wilayah hijau mereka kepada kami,” katanya.

Nancy berkata cadangan gelembung perjalanan dengan wilayah berstatus hijau berdasarkan potensi pasaran yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.

“Ini termasuk aktiviti perdagangan, perniagaan, pelancong perniagaan dan kemasukan pelancong asing serta sumbangan pendapatan pelancongan jangka pendek yang penting kepada negara, dengan mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan,” katanya.

Nancy bagaimanapun berkata pelaksanaannya adalah tertakluk kepada perbincangan dua hala, dengan pertimbangan penting atas aspek kesihatan, imigresen, pengesanan data dan pemantauan berterusan oleh agensi yang berkaitan dengan negara terlibat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This