Malaysia tawar bantuan kepada Australia untuk padamkan kebakaran

KUALA LUMPUR,. Malaysia bersiap sedia untuk menghulur bantuan yang perlu bagi membantu Australia yang kini berhadapan dengan krisis kebakaran hutan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, bantuan itu termasuk penghantaran anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), aset dan para pegawai untuk membantu memadamkan kebakaran berkenaan dengan secepat mungkin dan bagi menyokong operasi menyelamat Australia.

“Saya amat sedih bila mengetahui mengenai keadaan buruk kebakaran itu yang telah menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan besar di Australia.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya ingin melahirkan rasa takziah kepada mangsa, keluarga mereka dan semua yang terlibat. Doa kami mengiringi bersama-sama rakyat Australia semasa tempoh sukar ini,” katanya dalam akaun Facebook rasmi beliau, hari ini.

Menurut laporan media, seramai 24 orang terbunuh dan hampir 2,000 rumah musnah apabila kebakaran hutan itu telah memusnahkan tiga negeri di Australia melibatkan kebakaran kira-kira lima juta hektar tanah.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan berkata, Malaysia berdiri teguh bersama-sama Australia ketika pasukan pemusnah kebakaran dan pegawai perkhidmatan kecemasan dari seluruh negara dan dunia bekerja bertungkus-lumus sepanjang 24 jam sehari untuk memadamkan kebakaran.

“Krisis ini telah memberi kesan buruk yang dahsyat terhadap perubahan iklim sejagat. Oleh itu, komitmen yang teguh ke arah pelaksanaan dasar kemampanan dan tindakan kolektif oleh semua negara diperlukan bagi mengatasinya dan membendung ia daripada menjadi bertambah buruk lagi.

“Ingatan dan doa kami sentiasa mengiringi semua mereka yang terjejas,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )