Malaysia tidak tarik balik opsyen untuk failkan tuntutan undang-undang kepada WTO – Kok
KUALA LUMPUR,. Malaysia tidak menarik balik opsyennya untuk mengemukakan tuntutan undang-undang kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berhubung Akta Delegasi oleh Kesatuan Eropah (EU), kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.
Beliau berkata malah, pasukan perundangan peringkat tertinggi Malaysia sedang meneliti dan memperhalusi tindak balas berpotensi bagi menyediakan sebaik mungkin petisyen yang tidak dapat dipertikaikan atau dipersoalkan.
“Malaysia terus berpandangan Akta Delegasi itu mencemarkan komitmen industri minyak sawit kami ke arah kemampanan mandatori sejak ia mewujudkan halangan tambahan perdagangan dan menyekat usaha kemampanan kami sepanjang rantaian bekalan minyak sawit kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata buat masa ini, Malaysia masih akan berunding mengenai isu-isu ini dengan EU menerusi mesyuarat dan rundingan dua hala.
“Saya bagaimanapun mengulangi bahawa Malaysia tidak pernah menyatakan hasratnya untuk menarik balik (opsyen) daripada membuat tuntutan undang-undang kepada WTO,” katanya bagi mengulas laporan Reuters bertarikh 13 Feb bertajuk “Malaysia backs off from WTO suit against EU on palm oil.”
Kok, kini berada di Brussels, Belgium berkata lawatannya ke EU bertujuan bertemu pemimpin Eropah bagi menjelaskan usaha yang dilaksanakan kerajaan dan industri minyak sawit Malaysia dalam menghasilkan minyak sawit mampan di samping pelbagai projek pemuliharaan hijau yang diusahakan pihak industri.
“Saya memohon pengesahan daripada pemimpin EU mengenai pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan untuk mereka menerima minyak sawit yang diperakui MSPO ke Eropah.
“Ini sejajar dengan pengumuman tujuh negara EU dalam Deklarasi Amsterdam mengenai Minyak Sawit Mampan Sepenuhnya pada 2020,” katanya.
Semasa pertemuan dengan Pesuruhjaya EU bagi Tenaga, Kadri Simson dan penasihatnya di Brussels pada Khamis, Kok menyampaikan pandangan Malaysia mengenai Akta Delegasi dan Arahan Tenaga Boleh Diperbaharu (RED II) EU yang diluluskan Parlimen Eropah memandangkan ia mendiskriminasikan penggunaan minyak sawit dalam bio bahan api.
Beliau seterusnya memohon supaya akta tersebut disemak semula oleh satu kumpulan kerja bersama yang dianggotai oleh pakar-pakar dan peruntukan tersebut sebenarnya terkandung di dalam akta berkenaan.
Simson bersetuju dengan pandangan Malaysia mengenai rancangan untuk mewujudkan perundingan pakar di antara EU dengan pengeluar minyak sawit.
Justeru, Malaysia akan membangkitkan bantahannya semasa Kumpulan Kerja Bersama EU dengan Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit untuk Menyemak Semula Akta Delegasi tersebut.
Proses semakan semula akta itu dirancang dilaksanakan tidak lama lagi dan perlu diselesaikan sebelum Jun 2021.
Dalam pada itu Malaysia telah diterima sebagai pihak berkepentingan yang akan menjadi pemerhati dalam prosiding tuntutan undang-undang Indonesia terhadap EU di WTO.
“Pada bila-bila masa ahli pakar perundangan kami, yang turut akan mengikuti pendengaran di WTO, telah sedia, kami juga akan bersedia membangkitkan aduan kami sendiri,” katanya.
Pada Disember 2019, semasa persidangan Dewan Rakyat di Parlimen, Kok berkata berdasarkan semakan dan penilaian awal, polisi yang dinyatakan dalam Akta Delegasi di bawah RED II EU dapati telah melanggar prinsip WTO mengikut Perjanjian Am Mengenai Tarif dan Perdagangan 1994 serta Perjanjian Halangan Teknikal kepada Perdagangan.
Beliau juga berkata akta atau peraturan tersebut adalah satu akta yang menerangkan antara lain kriteria atau metodologi bagi menentukan sama ada sumber dalam pengeluaran biobahan api menyebabkan kadar perubahan penggunaan tanah secara tidak langsung yang tinggi atau rendah selain kesannya kepada pelepasan gas rumah hijau.
— BERNAMA