
Manfaatkan PRN tebus silap pilih kerajaan negeri – PM
BEAUFORT: Rakyat Sabah perlu menebus semula kesilapan memilih kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini, demi memastikan lebih banyak limpahan kemakmuran dibawa untuk mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, beliau dipilih untuk memikul tanggungjawab mengetuai kerajaan dalam tempoh yang sukar akibat COVID-19, namun rakyat masih terus menjadi keutamaan.
Katanya, walaupun dilabelkan sebagai ‘Perdana Menteri pintu belakang’, namun itu tidak sesekali melemahkan semangatnya dan barisan Kabinet untuk terus berbakti kepada rakyat.
“Ada sesetengah kata, saya Perdana Menteri ‘pintu belakang’ (tapi), saya datang dari pintu istana dan tidak terduga saya berdepan cabaran maha besar.
“Saya pikul tanggungjawab dan tidak kira asalkan rakyat Malaysia berhak terima perlindungan daripada kerajaan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra bersama Perdana Menteri di Pekan Kuala Penyu, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, merangkap Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Limus Jury.
Dalam ucapannya juga, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN, menyatakan keyakinan pembangunan infrastruktur yang dirancang di Kuala Penyu, akan tetap diteruskan Kerajaan Pusat seperti yang sudah luluskan sebelum ini.
Katanya, kerajaan PN mahu membuktikan kemampuan untuk menguruskan negara walaupun dalam keadaan sukar.
“Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini adalah penentu untuk mengembalikan Sabah menjadi sebuah negeri yang lebih baik.
“Saya berharap kerajaan negeri yang dibentuk sehaluan dengan kerajaan PN dan gabungan parti lain,” katanya.
-Bernama