Mangsa banjir di Sabah meningkat, Melaka berkurangan

Mangsa banjir di Sabah meningkat, Melaka berkurangan

KUALA LUMPUR,. Jumlah mangsa banjir di Sabah kembali meningkat pagi ini dengan 67 orang dipindahkan berbanding 27 orang semalam, manakala dua lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu di Sook dan Beaufort.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan berkata susulan hujan lebat, PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di Beaufort yang ditutup pada 2.40 petang semalam dibuka semula pagi ini dan proses pendaftaran mangsa sedang dijalankan.

PPS Kampung Pauh, Sook yang baru dibuka lewat malam semalam pula menempatkan 41 mangsa daripada enam keluarga.

Mangsa yang ditempatkan di PPS Rumah Kebudayaan Kalang Kanar di Tenom kekal menempatkan 26 mangsa daripada lima keluarga sejak semalam.

Kejadian banjir akibat cuaca yang tidak menentu itu turut menyebabkan paras air di beberapa batang sungai melimpah dan menenggelamkan beberapa jalan serta kampung sejak beberapa hari lepas.

Sementara itu di Melaka, mangsa banjir menurun kepada 273 orang daripada 67 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 348 orang membabitkan 86 keluarga pada 4 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa ditempatkan di empat PPS di Melaka Tengah dan Jasin.

Beliau berkata di Melaka Tengah, 153 mangsa (36 keluarga) ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek dan 59 mangsa (15 keluarga) pula di SK Demang Husin.

“Di Jasin pula, 20 mangsa (empat keluarga) ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shuh Yen manakala SK Tehel menempatkan 41 mangsa (12 keluarga),” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )